Perlis usaha wujud kawasan padi benih sendiri

- Advertisement -

KANGAR: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seluruh Perlis telah diminta untuk mewujudkan satu kawasan bagi mengusahakan penghasilan padi benih bagi kegunaan pesawah negeri ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Negeri, Razali Saad berkata, setakat ini PPK Padang Siding sudah menyahut cabaran tersebut dengan mengusahakan kawasan padi benih seluas 50 hektar.

“Walau bagaimanapun pengeluaran padi benih di PPK Padang Siding masih dalam proses, maknanya musim ini sedang ditanam dan akan dituai pada September nanti,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Razali turut mengingatkan pengusaha mengenai beberapa prosedur yang perlu dipatuhi untuk menghasilkan padi benih ini.

“Kita terikat dengan 13 Prosedur Operasi Standard (SOP), maknanya jika nak buat padi benih terus tahun ini boleh buat, tapi tidak semudah itu, tahun pertama perlu cuci ladang dulu, selepas itu baru boleh fokus pada benih padi.

“Sebab kita tidak mahu berlaku percampuran benih dan masalah padi angin berlaku, jadi dalam proses ke arah itu perlu melalui keseluruhan SOP yang digariskan,” tegasnya.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim mencadangkan agar kerajaan negeri perlu lebih berdaya untuk merealisasikan penghasilan benih padi sendiri.

Katanya, langkah penting itu bagi mengatasi isu kelewatan bekalan dan masalah kualiti benih padi yang sentiasa berulang setiap musim penanaman padi.

“Usaha untuk hasilkan benih padi sendiri ini bukan pada zaman pemerintahan ini sahaja, tapi yang lalu juga. Bagi kerajaan negeri ini,  saya sarankan usaha yang sesungguhnya supaya kita dapat merealisasikan benih padi sendiri.

“Agak malang, kita berada dalam kawasan padi atau tanaman padi yang luas, namun masih mengharapkan kepada kilang-kilang dan syarikat dari luar bagi mendapatkan benih,” katanya.

Justeru kata Razali, sebuah kilang memproses benih padi juga akan diusahakan segera kewujudannya bagi menguruskan perkara tersebut nanti.

“Kita memang ada kawasan yang mengusahakan padi benih, cuma sekarang ini kita tiada kilang sendiri untuk memproses padi benih.

“Oleh kerana itu kebanyakan petani dalam negeri Perlis yang mengusahakn padi benih akan jual kepada pengilang di Kedah.

“Jadi, kita sedang berusaha mewujudkan sebuah kilang padi benih untuk kita keluarkan sendiri padi benih daripada petak-petak petani negeri untuk kegunaan dalam negeri sendiri,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 9/5/2024

- Advertisement -