Amerika rancang halang Malaysia jadi pusat kumpul dana Hamas

Brian Nelson. (FOTO: American Law Institute)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) dilaporkan sedang cuba untuk menghalang Malaysia daripada menjadi pihak berkuasa yang membolehkan pejuang Islam Palestin, Hamas mengumpul dana dan memindahkan wang.

Setiausaha Bawahan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat bagi Keganasan dan Kecerdasan Kewangan, Brian Nelson berkata, negaranya juga melihat keupayaan Iran untuk memindahkan bekalan minyaknya bergantung kepada penyedia perkhidmatan yang berpusat di Malaysia, dengan minyak dipindahkan berhampiran Singapura dan di seluruh rantau ini, lapor Reuters.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan empat hari ke Singapura dan Malaysia yang bertujuan untuk menambah baik kerja-kerja dalam menentang pembiayaan dan penjanaan pendapatan oleh pihak Iran dan proksinya. 

- Advertisement -

Lawatan Nelson itu muncul ketika Jabatan Perbendaharaan AS meningkatkan tumpuannya pada pembiayaan terhadap Hamas yang disalurkan melalui Asia Tenggara, termasuk melalui usaha pengumpulan dana penjualan minyak Iran secara haram. 

Pada Disember lepas, Jabatan Perbendaharaan AS mengenakan sekatan  terhadap empat syarikat yang berpangkalan di Malaysia, selepas didakwa menjadi pendukung kepada pengeluaran dron Iran.

Tambah Nelson, sekatan dan kawalan eksport terhadap Rusia juga sedang menunjukkan perkembangan yang baik dan positif. 

“Had harga minyak Rusia telah mengurangkan kapasiti negara itu untuk mendapat keuntungan daripada jualan minyak sambil mengekalkan kestabilan pasaran tenaga global,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/5/2024

- Advertisement -