HULU SELANGOR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) membuktikan Pakatan Harapan (PH) tidak lebih daripada sekadar menabur janji, setelah tiga penggal sebelum ini tiada pembangunan di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Nadzir Helmi berkata, kerajaan sebenarnya mampu memberi kemudahan dan pembangunan infrastruktur kepada rakyat KKB.
“Pengumuman ‘tabur janjir’ sepanjang tempoh kempen PRK KKB dianggap bermain di dalam gelanggang yang tak sama, berat sebelah.
“Mungkin satu budaya yang perlu ‘pecah’ daripada pihak kerajaan atau sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan selepas ini, jangan tunggu wakil rakyat mati baru nak beri bantuan,” katanya ketika ditemui Harakahdaily.
Terdahulu, dalam kenyataan media pada 18 April 2024, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming telah mengumumkan akan menyalurkan sejumlah RM 5.21 juta kepada penduduk KKB.
Pada 26 April pula, dikhabarkan Hospital KKB bakal lalui dinaik taraf terutamanya mendapatkan doktor pakar dan pelbagai proses baik pulih setelah sekian lama tiada pembaharuan.
Seterusnya, PH mengkhabarkan pemasangan sistem Starlink kepada Orang Asli di Kerling bagi mendapatkan perkhidmatan talian komunikasi dan mula menerima isyarat liputan daripada empat penyedia telekomunikasi utama bermula 12 Mei 2024.
Justeru tambah Nadzir, walau bagaimanapun, setelah menabur pelbagai janji manis buat penduduk KKB sepanjang kempen PRK ini, mungkin PH perlu merenung atau melihat kembali bahawa penduduk di KKB hanya kekal dengan apa yang mereka ada sebelum ini.
“Penurunan majoriti undi kepada 3,869 pada PRK KKB pada 11 Mei 2024 berbanding 4,119 dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 yang diraih PH bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan.
“Saya yakin rakyat sokong perkara ini; dan PN pula telah membuktikan usahanya dengan mengekalkan lebih 10,000 undian (dalam PRK KKB),” katanya. – HARAKAHDAILY 13/5/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!