Isu Ringgit merudum: Jangan berterusan salahkan rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan serta Menteri Ekonomi digesa untuk telus dan bersungguh-sungguh serta proaktif dalam menyelesaikan nilai Ringgit Malaysia yang kini mencecah RM4.79 yang menunjukkan semakin jatuh merudum berbanding Dolar Amerika.

Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Zurk Ahmad berkata, kerajaan dan Menteri Ekonomi tidak perlu bertindak menyalahkan dan menafikan masalah tersebut kerana hanya menambah sakit hati rakyat.

- Advertisement -

“Cukup beritahu pergerakan Ringgit hari ini normal dan rakyat boleh bertenang. Cukup-cukuplah menunggang data semata-mata. Kita tahu Menteri Ekonomi hari ini adalah jaguh formula ekonomi suatu masa dahulu.

“Rakyat bangkit menyokong reformasi dan menjatuhkan kerajaan kerana idea dan kritikan ekonomi beliau. Sungguh, jika benar beliau masih setulus dahulu pasti disokong namun nadanya sudah berbeza hari ini.

“Kerajaan masih gagal menangani porak peranda yang berlaku ini. Kerajaan segeralah berbuat sesuatu. Pembangkang boleh membuat semak imbang yang baik dan selagi ada usaha yang betul pasti akan digerakkan bersama demi rakyat,”ujar beliau dalam satu kenyataan.

Menurutnya, rakyat sudah sangat biasa dengan pergerakan Ringgit hari ini kerana seolah tiada lagi harapan disebabkan jatuh atau naik nilai tersebut tetap keadaannya masih sama.

“Naik semakin buruk, turun tidak merubah apa-apa. Entah salahnya di mana lagi, tetapi begitulah keadaannya ekonomi hari ini. Bukan Ringgit sahaja yang menjadi faktor, nilai eksport import, kenaikan mendadak harga barang dan sebagainya.

“Cerita-cerita rakyat dan sebahagian usahawan kecil dan besar yang bergelut untuk bertahan hari ini adalah bukti nyata. Berat bagi mata yang memandang apatah lagi bahu yang memikul.

“Bukan masanya lagi untuk kerajaan mengorek punca masalah. Pakar sudah banyak menulis dan berdiskusi. Sudah terlalu banyak dan muak,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/4/2024

- Advertisement -