Daftar individu NSR: Kerajaan tak perlu pinda Akta 50

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak perlu meminda Akta Perubatan atau Akta 50 bagi membolehkan National Specialist Register (NSR) mendaftarkan individu tertentu kerana cukup dengan peruntukan sedia ada dengan mendaftarkan individu yang telah mengikuti latihan yang diiktiraf dalam negara dan latihan bertauliah.

Pengerusi Portfolio Kesihatan Perikatan Nasional, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi mencadangkan agar doktor-doktor yang mengikuti Program Parallel Pathway turut mengikuti modul dan latihan sangkutan (attachment) di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara yang menjalankan program kepakaran khusus kardiotorasik bagi membolehkan diiktiraf dan didaftarkan sebagai pakar bedah kardiotorasik oleh NSR.

- Advertisement -

Menurut beliau, pihak kerajaan harus memandang kepada kesan jangka masa panjang berkaitan kredibiliti bidang perubatan negara, bukan sekadar hanya menyelesaikan masalah jangka pendek namun menimbulkan pelbagai persoalan dan persepsi.

“Diakui bahawa menjadi hasrat negara untuk meningkatkan jumlah pakar kardiotorasik bagi menangani masalah penyakit jantung yang semakin meningkat tahun demi tahun.

“Namun, adakah kerajaan mahu pengiktirafan dan kredibiliti pakar kardiotorasik disamakan setaraf dengan pengiktirafan sebuah persatuan yang tidak bertauliah?

“Menteri Kesihatan dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) perlu menyedari bahawa bukanlah semudah itu untuk mengiktiraf mana-mana agensi semata-mata untuk memenuhi keperluan kepakaran.

“Ia harus mengikut lunas undang-undang dan keprofesionalan perubatan dalam negara kita. Bagaimana mungkin sebuah persatuan yang tidak didaftarkan sebagai sebuah IPT bertauliah akan diiktiraf sebagai entiti yang melahirkan pakar.

“Sistem latihan melahirkan doktor dan kepakaran tertentu di IPT negara kita telahpun memenuhi standard dan diiktiraf.

“Begitu juga kemampuan program latihan universiti-universiti tempatan seperti UiTM sebagai IPT yang melatih dan melahirkan pakar kardiotorasik,” ujar Yunus dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata cadangan pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) adalah bertujuan menangani jurang antara Program Parallel Pathway (PPP) dan Program Sarjana Perubatan tempatan.

Dalam pada itu, menurut beliau, Menteri Pengajian Tinggi harus tegas kerana proses melahirkan kepakaran adalah di bawah kuasa Menteri Pengajian Tinggi dan matlamat akhir adalah untuk melahirkan pakar yang berwibawa, bukan sekadar untuk mengisi kelompangan yang ada.

Tambahnya, menjadi tugas kerajaan menyediakan peruntukan dan menggalakkan lebih ramai lagi pegawai perubatan terlibat dalam latihan pelbagai kepakaran termasuk kardiotorasik di universiti tempatan.

“Begitu juga Presiden MMC (Majlis Perubatan Malaysia) perlu tegas dan tidak harus ditekan oleh mana-mana pihak atas dasar keprofesionalan bidang perubatan sejajar dengan undang-undang sedia ada.

“Kredibiliti NSR dan MMC harus terus dipertahan secara profesional. Di samping itu mana-mana program sarjana tempatan yang tidak diiktiraf harus dikaji semula dan diperkasakan kursus latihannya agar memenuhi standard.

“Adakah negara mahu kompetensi dan kredibiliti pakar bedah kardiotorasik boleh dicabar? Siapa yang akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang implikasi di masa hadapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/4/2024

- Advertisement -