‘Konflik boikot sebenarnya berlaku dalam PH’

- Advertisement -

HULU SELANGOR: Tidak timbul isu boikot dalam PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) kali ini.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PN Negeri Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, Pakatan Harapan (PH) cuba memainkan isu Pimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang tidak turun padang ketika penamaan calon yang dipertikai seolah-olahnya menunjukkan ketidakseimbangan dalam PN.

Menurutnya, pada hari penamaan calon itu bertembung dengan Majlis Hari Raya peringkat PAS Pusat di Perlis dan mesyuarat PAS Pusat secara bulanan yang telah ditetapkan lebih awal sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon.

“Sebenarnya konflik boikot ini berlaku dalam PH apabila komponen-komponen parti dalam Kerajaan Madani sendiri yang tidak turun berkempen bersama bagi pihak PH,” katanya dalam Sidang Media Ketua Pemuda PN Selangor di sini, hari ini.

Menurut beliau, pada hari pengumuman calon, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor ada turun padang untuk berceramah pada majlis berkenaan.

“Selain itu juga, penyelarasan jadual juga sedang berlaku oleh bilik gerakan utama. Sejurus itu, pihak PAS Pusat telah memutuskan PAS Selangor untuk kekal berada di KKB dan tidak dibenarkan untuk keluar pergi ke acara lain.

“Pembahagian tugas telah dijalankan seperti dalam perancangan dan kesemua jentera PAS dari negeri lain juga telah menghantar jentera mereka di KKB seperti PAS dari terengganu, Pahang, Perak dan Melaka.

“Kalau kami boikot, pastinya semua daripada PAS tidak akan turun padang dan jentera kami juga tidak kelihatan.

“Pihak PN sangat harmoni dalam gerak kerja PRK KKB ini dan jentera PAS ‘solid’ turun mengerah tenaga di KKB ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menjawab isu kelayakan akademik calon PRK KKB, Tuan Khairul Azhari Saut yang didakwa tidak diiktiraf.

Menurut Mohamed Sukri, kelayakan akademik yang dipertikai itu telah dijawab secara rasmi di media sosial beliau dan diharapkan pihak PH dapat menghormati institusi akademik seperti Universiti Pahang dan Universiti Malaya kerana sijil yang dikeluarkan oleh universiti tersebut berprestij dan diiktiraf negara.

“Apa yang penting, sijil itu benar-benar tulen dan pendidikan itu dilalui mengikut proses yang telah ditetapkan oleh universiti kerana pengajian itu disediakan adalah sebagai laluan kepada mereka yang berkerjaya untuk menambah keilmuannya dalam meneruskan agenda mereka atau sebagainya.

“Beliau adalah anak tempatan, berkelayakan tempatan, berjiwa tempatan yang akan meneruskan perjuangan hak-hak rakyat tempatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/4/2024

- Advertisement -