RoS luluskan pindaaan perlembagaan BERSATU

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) telah meluluskan permohonan pindaan perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), membolehkan parti itu mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen yang sebelum ini telah bertindak memberi sokongan kepada pihak lawan.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris dalam hantaran di Facebooknya pada hari ini (2 April) berkata, “Assalamualaikum semua. Berita baik! RoS telah meluluskan Pindaan Perlembagaan Bersatu yang telah diputuskan dalam Perhimpunan Agong Khas baru baru ini.

- Advertisement -

“Alhamdulillah 6 + 1 Jahanam jangan lari!!!”

Sementara Ketua Armada BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad berkata, pindaan perlembagaan parti tersebut boleh dijalankan bermula Isnin (1 April).

“Alhamdulillah RoS telah meluluskan permohonan pindaan ini yang membolehkan kami mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, pada hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Machang itu, langkah seterusnya mengosongkan kerusi-kerusi mereka ini untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) peringkat parlimen.

Terdahulu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa RoS segera meluluskan pindaan perlembagaan parti itu bagi membolehkan ia dikuatkuasakan serta-merta.

Beliau turut berharap supaya tiada sebarang campur tangan politik yang boleh mempengaruhi proses berkenaan menjadi perlahan.

Sebelum ini, pada 2 Mac lalu, BERSATU telah meluluskan Perkara 10 perlembagaan parti itu, yang diumumkan oleh Pengerusi Tetapnya, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah selepas mendapat sokongan 1,956 perwakilan perwakilan daripada bahagian serta sayap Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Srikandi serta Srikandi Muda yang hadir dalam Perhimpunan Agung Khas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang, Selangor.

Pindaan itu membabitkan tiga perkara di bawah Fasal 10 Perlembagaan BERSATU iaitu berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti.

Pindaan perlembagaan tersebut dibuat susulan tindakan enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Keenam-enam mereka terdiri daripada Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Dalam Perhimpunan Agung Khas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang, Selangor pada 2 Mac itu juga, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pindaan perlembagaan parti itu kelak akan memberi kesan kepada kedudukan enam Ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri tersebut.

“Tidak timbul soal pindaan itu boleh bersifat retrospektif atau tidak, kerana keenam-enam individu tersebut masih lagi ahli parti, dan tidak pernah disingkirkan.

“Sekiranya pindaan itu diluluskan, dan berkuatkuasa, maka keahlian keenam-enam individu tersebut akan terhenti dengan automatik, sekali gus menyebabkan kekosongan enam kerusi Parlimen mereka,” katanya.– HARAKAHDAILY 2/4/2024

- Advertisement -