Iran ikrar balas dendam terhadap Israel

Visual kemusnahan teruk yang berlaku di bangunan konsulat Iran yang terletak bersebelahan kedutaan negara itu, di Damascus, Syria. (FOTO: Foreign Policy)
- Advertisement -

DAMSYIK: Iran berikrar akan membalas dendam selepas serangan dilakukan terhadap bangunan konsulat mereka, yang dipercayai dilakukan oleh pihak Israel, menyaksikan tujuh orang terbunuh termasuk dua komander tertinggi dan timbalannya.

Pemimpin Iran di Tehran dalam pada itu menganggap serangan yang dilakukan Israel itu tidak pernah berlaku sebelum ini dan berjanji akan mengambil tindakan keras terhadap pihak yang melakukan serangan.

- Advertisement -

Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian berkata, pencerobohan dan serangan pada Isnin (1 April) itu telah melanggar norma diplomatik dan perjanjian antarabangsa, lapor Al Jazeera.

“Benjamin Netanyahu telah kehilangan keseimbangan mental sepenuhnya akibat kegagalan beliau di Gaza dan kegagalan untuk mencapai matlamat Zionisnya”, katanya.

Insiden tersebut menandakan peningkatan serangan yang dilakukan pihak Israel terhadap pegawai ketenteraan Iran, yang telah menyalurkan dana dan persenjataan kepada kumpulan pejuang di Gaza dan sempadan negara Lubnan. 

Sementara itu, duta Iran ke Syria, Hossein Akbari memaklumkan tindak balas Iran terhadap serangan berkenaan akan berada pada magnitud dan kekerasan yang sama seperti yang dilakukan Israel. 

Beliau dalam pada itu memaklumkan bangunan konsulat tersebut telah diserang dengan enam peluru berpandu yang dilancarkan menerusi pesawat pejuang F-35. 

Antara komander tertinggi Iran yang telah terbunuh dalam serangan berkenaan adalah Ketua Turus Kor Pengawal Revolusi Iran, Brigadier Jeneral Mohammad Reza Zahedi; Ketua Staf Kor Pengawal Revolusi Iran, Brigadier Jeneral Hossein Aminollah; dan Timbalan Ketua Turus Kor Pengawal Revolusi Iran, Jeneral Mohammad Rahimi. – HARAKAHDAILY 2/4/2024

- Advertisement -