Amal ibadah Ramadan: Jangan lupa libatkan keluarga

Nuridah dalam program Tazkirah Ramadan anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH) di Kuala Lumpur pada hari ini, 2 April 2024, (FOTO: HARAKAHDAILY/HAZIQ AIMAN)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ramadan bukan sahaja bulan untuk meningkatkan amal ibadah, tetapi juga peluang untuk menyatukan hubungan antara keluarga di bulan yang mulia ini. 

- Advertisement -

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, apabila masuk sepuluh malam terakhir Ramadan, Nabi Muhammad SAW akan mengetatkan kainnya dan mengejutkan ahli keluarganya bagi menghidupkan malam tersebut, memetik hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. 

“Jadi, di sini kita lihat daripada sunnah Rasulullah SAW, baginda tidak mengabaikan keluarga iaitu suatu amalan yang boleh dijadikan ikutan kita,” katanya. 

Tambah beliau, tanggungjawab sebagai ibu bapa sangat besar dalam mendidik anak-anak dan ahli keluarga sendiri. 

Beliau juga memetik sabda Rasulullah SAW, yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan atas fitrah (suci). Kedua orang tuanya lah yang menjadikannya sama ada Yahudi, sama ada Majusi, sama ada Nasrani.

“Sebab anak-anak ini suci bersih ibarat kain putih yang dilahirkan daripada perut ibunya. Jadi selepas itu, tanggungjawab ibu bapalah sama ada anak ini akan jadi apa,” kongsi Nuridah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Tazkirah Zuhur Ramadan yang dianjurkan oleh Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH) di sini, yang turut boleh ditonton menerusi laman Facebook Harakahdaily dan TV PAS.

Beliau dalam pada itu menyatakan bahawa malam pada bulan Ramadan adalah waktu yang paling banyak kita meluangkan masa bersama ahli keluarga. 

“Jadi, kita boleh mengajak ahli keluarga untuk melakukan solat tarawih secara berjemaah di rumah ataupun pergi ke masjid. Ada orang suka bawa keluarga pergi ke masjid. Lepas masjid ini, dia akan pergi masjid yang lain pula”, katanya. 

Menurutnya,  ibu bapa yang mahu mendidik anak-anak mula bersahur, amat penting untuk mereka bangun awal bagi membuat persiapan sahur bersama ahli keluarga.

“Kita mahu supaya anak kita berpuasa, jadi kena lah layan mereka dengan sebaik-baik mungkin. Hendak memulakan itu memang susah, tetapi lama-kelamaan ia akan jadi kebiasaan, insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/4/2024

- Advertisement -