Perkukuh, tumpu aspek hak asasi kanak-kanak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia wajar menjadikan Australia dan New Zealand sebagai model hak asasi dalam isu berkaitan golongan kanak-kanak, demikian syor Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff.

- Advertisement -

Beliau berkata, kerajaan perlu menjalankan kajian kebolehlaksanaan yang diguna oleh dua negara itu bagi menjuarai isu berkaitan golongan tersebut di negara ini.

“Adakah pihak kerajaan menjalankan kajian kebolehlaksanaan terhadap model diguna pakai oleh negara-negara lain seperti Sweden dan New Zealand termasuk kerangka kerja perlindungan kanak-kanak secara menyeluruh yang memberi penumpuan kepada aspek pengawasan dan pemantauan yang konsisten. 

“Malaysia harus mencontohi standard dan amalan terbaik antarabangsa sepertimana Australia dan New Zealand yang mempunyai pesuruhjaya khusus untuk menjuarai isu-isu kanak-kanak,” katanya ketika sesi perbahasan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), di Dewan Negara, hari ini.

Martina juga meminta pihak kerajaan menjelaskan pendekatan yang digunakan bagi meningkatkan kesalinghubungan antara Badan Bukan Kerajaan (NGO) dengan aktivis.

“Sejauh mana pendekatan kerajaan khususnya dalam meningkatkan kesalinghubungan antara institusi hak asasi NGO, serta para aktivis hak asasi untuk memperkukuh perlindungan dan promosi hak kanak-kanak?

“Ini supaya semua pihak berkepentingan dapat memainkan peranan proaktif dalam mendidik dan menyebarkan kesedaran kepada masyarakat umum mengenai perkara ini. Misalnya, pemahaman tentang Garis Panduan Khas untuk Mengendalikan Kes Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang sedang dikemaskini.

“Di samping peruntukan undang-undang yang sedia ada sebagai usaha berterusan untuk memastikan sistem keadilan jenayah di Malaysia yang komprehensif,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 2/4/2024

- Advertisement -