‘Barah tata kelola, amalan politik lapuk Kerajaan Madani terserlah’

- Advertisement -

HULU SELANGOR: Tata kelola dan amalan politik lapuk kerajaan Madani mula membarah dan terserlah menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).

Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ia kini boleh dilihat menerusi pengumuman projek bernilai RM5.21 juta secara ‘kebetulan’ oleh  Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming untuk warga KKB dalam musim pilihan raya kecil ini. 

“Apabila dipersoalkan oleh rakyat akan aksi politik lapuk ini, tokoh DAP ini memberikan jawapan bahawa KKB ada ‘ong’. Apakah beliau memandang begitu kecil terhadap kritikan dan kegusaran rakyat?” soal Wan Ahmad Fayhsal. 

- Advertisement -

Tambahnya, apa yang berlaku ternyata menzahirkan sikap hipokrit pemimpin-pemimpin  Pakatan Harapan (PH) dalam isu tata kelola dan tadbir urus baik yang sekian lama menjadi bahan politik PH termasuklah DAP dalam memancing undi rakyat. 

“Perkara ini begitu jelas sehingga NGO Bersih yang satu ketika dahulu merupakan pertubuhan yang mesra PH tidak mampu berdiam diri dan terpaksa menegur kerajaan Madani,” tegasnya. 

Menurut beliau lagi, pengumuman secara kebetulan mengenai peruntukan projek oleh Kor Ming yang disusuli dengan pengisytiharan mantan Setiausaha Akhbarnya, Pang Sock Tao sebagai calon KKB di PRK kali ini turut dipersoalkan. 

“Rakyat sekali lagi mempersoalkan apakah rasional di sebalik pemilihan calon ini, serta keseriusan PH dalam memilih calon wakil rakyat yang terbaik buat warga Kuala Kubu Bharu.

“Kami memberi amaran kepada kepimpinanan PH, jika kalian kekal bacul dan lari daripada persoalan rakyat, bersiap sedia dihukum pada hari membuang undi kelak,” hujahnya. 

“Sekarang sudah jelas betapa tatakelola, segala janji manis dahulu hanyalah retorik oleh pemimpin Pakatan Harapan khususnya DAP. 

“Oleh sebab itu, warga Kuala Kubu Bharu diseru agar membuat pilihan terbaik dalam pilihan raya akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/5/2024

- Advertisement -