Bantu pekerja ditindas majikan: Tindakan kerajaan

Muhammad Ismi Mat Taib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan disarankan mempertingkatkan usaha untuk menyediakan pelbagai bentuk saluran bagi golongan pekerja yang ditindas, untuk menyuarakan rungutan dan ketidakpuasan hati mereka berkenaan hak mereka selaku pekerja yang sering diganggu gugat oleh majikan masing-masing.

Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, kerajaan boleh merealiasikannya melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA). 

- Advertisement -

“Pekerja-pekerja yang ditindas ini juga seharusnya dibenarkan menyertai kesatuan pekerja masing-masing bagi mempertahankan hak mereka. 

“Bahkan, mereka harus diberi peluang dan pendedahan dari segi undang-undang berkenaan bagaimana mereka harus bertindak dalam aktiviti  perburuhan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, beliau berhasrat untuk terus-menerus membangkitkan hak pekerja sama ada di sektor swasta dan awam di Dewan Rakyat.

“Ini kerana saya percaya golongan pekerja di negara kita berhak dihormati dan diberi layanan yang saksama di tempat kerja. 

“Saya berpegang teguh bahawa mereka harus dilindungi dari segala segi eksploitasi, diskriminasi, waktu kerja yang melampau selari dengan norma-norma seorang manusia biasa,” tegas beliau.

Sementara itu Muhammad Ismi menyatakan, beliau ingin merujuk kepada laporanj  bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula 1 Disember 2024. 

Kenaikan itu dikatakan melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion. Dalam perkembangan yang sama, di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan, Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa kerajaan akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan.

“Justeru, saya selaku wakil rakyat yang tidak  akan berhenti memperjuangkan hak pekerja di Dewan Rakyat.

“Saya menyambut baik cadangan dan usaha Kerajaan Persekutuan dalam menaikkan gaji pekerja sektor awam sejak sekian lama ia tidak dilaksanakan. 

“Saya berharap usaha-usaha seperti ini diteruskan demi kesejahteraan pekerja awam selaku tulang belakang produktiviti negara kita,” ujarnya.

Muhammad Ismi berkata, bersempena Hari Pekerja yang disambut semalam (1 Mei), beliau juga ingin menggesa agar Kerajaan Persekutuan agar berterusan menyemak dan mengemaskini undang-undang perburuhan negara  supaya ia selari dengan standard yang digunapakai di peringkat antarabangsa.  

“Cadangan untuk menyemak dan mengemaskini undang-undang perburuhan ini termasuklah pelaksanaan gaji minimum, waktu kerja yang bersesuaian, penyelarasan pembayaran gaji lebih masa, dan keselamatan serta kesejahteraan pekerjaan di tempat pekerjaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/5/2024

- Advertisement -