HULU SELANGOR: Kerajaan digesa menghormati dan melaksanakan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mantan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, rakyat Malaysia harus berpegang kepada perlembagaan kerana pemimpin datang dan pergi, tetapi perlembagaan tetap menjadi pegangan seperti yang terkandung dalam Rukun Negara.
Kenyataan beliau itu dibuat merujuk kepada Titah Adendum yang dikatakan telah dititah oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 berkait isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Seperti contoh, Artikel 40 (2) menyebut kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk membebaskan, meringankan dan melegakan sesuatu rayuan hukuman yang dikemukakan.
“Jadi bagi saya, tahanan rumah ini adalah satu arahan untuk melegakan. Bagaimana nak melaksanakan arahan itu terpulang kepada pihak kementerian,” katanya.
Beliau berkata dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri BERSATU di Fraser Valley Kuala Kubu Bharu, semalam.
Tambah Noh, apabila sesuatu titah itu datang daripada Yang di-Pertuan Agong, maka ia menjadi tanggungjawab pihak kerajaan untuk melaksanakannya.
“Titah Tuanku tidak boleh dikaitkan dengan Akta Penjara yang saya lihat ada pihak tertentu termasuk Menteri Dalam Negeri yang ada menyebut mengenai Akta Penjara, tahanan dan parol,” jelasnya.
Ini kerana menurut beliau, perkara berkenaan adalah dua perkara yang berbeza kerana ianya di bawah akta dan tiada kaitan dengan kuasa YDPA.
“Perlembagaan mengatasi akta. Jadi kalau kerajaan tidak berpuas hati dengan titah berkenaan yang membuatkan rakyat tidak gembira dan sebagainya, apa yang mereka boleh buat? Pinda lah perlembagaan.
“Jadi sebelum mana-mana perlembagaan itu dipinda, maka perlembagaan yang ada ini haruslah disanjung dan dihormati,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2024