Tiba masa Israel tamatkan perang Gaza – Trump

Donald Trump. (FOTO: Vox)
- Advertisement -

NEW YORK CITY: Mantan presiden AS dan calon Republikan pada pilihan raya November 2024  di Amerika Syarikat, Donald Trump telah memberi amaran kepada Israel bahawa ia kehilangan sokongan antarabangsa dan harus menamatkan perangnya di Gaza.

Trump berkata, walaupun beliau akan bertindak balas dengan cara yang sama seperti Israel selepas serangan Hamas pada 7 Oktober, namun sudah tiba masanya untuk menamatkan konflik itu.

- Advertisement -

Lebih 32,000 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza sejak Israel memulakan pengeboman di wilayah itu hampir enam bulan lalu.

“Kamu (Israel) menamatkan perang kamu,” kata Trump kepada Israel Hayom dalam satu wawancara dengan akhbar sayap kanan Israel itu yang berkata ia telah dirakam pada hujung minggu. 

Komen Trump diterbitkan selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengundi gencatan senjata segera, dan langkah itu diluluskan selepas Washington  mengambil pendekatan berkecuali daripada menggunakan kuasa vetonya.

Terdahulu, Israel berkirar,  ia akan meneruskan serangannya sehingga Hamas dimusnahkan dan tawanan yang tinggal dibebaskan, dan mahu menyerang bandar Rafah di selatan Gaza, loaksi di mana lebih sejuta rakyat Palestin telah berlindung, menyebabkan AS berasa bimbang dengan perancangan Zionis itu.

“Israel perlu berhati-hati, kerana kamu kehilangan banyak sokongan dunia,”  kata Trump semasa wawancara.

Trump  sebelum ini sering menggembar-gemburkan dirinya sebagai penyokong Israel, menunjukkan keputusannya untuk memindahkan Kedutaan AS ke Baitulmaqdis dan peranan pentadbirannya dalam memperantara Perjanjian Abraham 2020, yang menyaksikan negara-negara Arab termasuk Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain menormalisaskan hubungan dengan Israel. – HARAKAHDAILY 26/3/2024

- Advertisement -