Tiada paparan: Kementerian Digital perlu ditukar

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Digital dicadang untuk ditukar kepada Kementerian Analog berikutan salah satu halaman rasmi dikendalikannya tidak mengeluarkan sebarang paparan kecuali ‘this page is not working‘ (halaman ini tidak berfungsi) apabila butang siber sekuriti ditekan.

- Advertisement -

Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, bahawa jika perkara itu berlaku pada halaman rasmi di kementerian lain boleh dimaafkan dan tidak sepatutnya berlaku kepada halaman rasmi Kementerian Digital.

Ustaz Ahmad Fadhli mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2024 di Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat, di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, di bawah butiran 01600 Keselamatan Siber diperuntukkan RM236 juta untuk bangunan dan RM11 juta pula untuk mengurus.

“Saya semak di dalam Belanjawan 2024 yang dibentang tahun lepas diperuntukkan RM60 juta sahaja, itu pun saya baca kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Siber Sekuriti Malaysia bahawa peruntukan itu boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk ekosistem keselamatan siber.

“Tiba-tiba dalam peruntukan semula ini berlipat kali ganda, empat kali ganda. Apakah projek yang akan dilaksanakan di bawah projek cyber security ini yang mana saya lihat tidak ada lagi perancangan-perancangan ataupun tidak ada lagi butiran rasmi yang dimaklumkan kepada rakyat,” kata beliau.

Tambahnya di bawah butiran 00900, bantuan teknik dan perunding diperuntukkan RM43.6 juta, dan dipersoalkan pihak manakah yang akan dirundingkan.

“Dan kenapa bayaran ini terlalu besar? Apakah kementerian tidak mempunyai kepakaran dalaman sebagaimana PADU yang disebut oleh Menteri Ekonomi tadi dibangunkan menggunakan tenaga dan kepakaran dalaman sehingga tidak perlukan kos.

“Tetapi untuk Mydigital, untuk Kementerian Digital ini RM43.6 juta untuk bantuan teknik dan perunding,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 26/3/2024

- Advertisement -