MyGCC kini kurang efektif

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: My Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MyGCC) kini kelihatan kurang efektif dari segi memainkan peranannya sebagai agensi yang menjadi barisan hadapan komunikasi kerajaan.

- Advertisement -

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, terdahulu MyGCC terletak di bawah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), kini dipindahkan di bawah Kementerian Komunikasi.

Beliau berkata, capaian posting dalam kesemua platform media sosial MyGCC menunjukkan prestasi yang sangat rendah.

“Jadi saya ingin mempersoalkan apakah butiran RM11 juta berbaloi untuk kita mempertahankan untuk mewujudkan operasi MyGCC ini?

“Bukan MyGCC sahaja, kalau kita lihat juga kepada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), laman rasmi J-KOM dalam semua platform pun begitu.

“Kedua-dua agensi ini dalam semua platform media sosial mereka yang rasmi tidak ada pun pembelian iklan untuk mempromosi kewujudan platform untuk rakyat tahu dan gunakan untuk salur aduan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2024 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Katanya, perkara ini berbeza apa yang dilihat di laman media sosial kementerian Madani tersebut.

“Saya ambil contoh semalam di Facebook, Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli berbelanja untuk beli iklan RM2,135, dalam tempoh seminggu RM9,680, dan dalam tempoh sebulan Rafizi di laman Facebooknya membelanjakan iklan sebanyak RM33,223.

“Katanya, untuk mempromosikan Pangkalan Data Utama (PADU), hentam Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), tapi sampai sekarang ini PADU masih tak padu lagi.

“Jadi saya rasa selain daripada bazirkan duit untuk iklan laman rasmi Facebook.

“Kenapa kementerian tidak membelanjakan peruntukan ini untuk membantu mempromosi platform media sosial MyGCC dan J-KOM yang lebih mandiri daripada tidak dipercayai oleh rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/3/2024

- Advertisement -