Tetapkan kriteria jawatan Pendaftar Wang Tidak Dituntut

Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan digesa menetapkan kriteria dan mewujudkan satu badan yang menjadi semak imbang bagi penjawat jawatan Pendaftar Wang Tidak Dituntut.

- Advertisement -

Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) berkata bahawa perkara itu dilihat penting bagi memperlihatkan kedudukan pengurusan tata kelola yang efisien serta berintegriti.

“Dalam mengurus sekuriti tidak dituntut termasuk penjualan, pembayaran dan pemindahan wang tak dituntut ke akaun amanah disatukan,” ujar beliau.

Dr Fakhruddin mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Wang Tak Dituntut (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata, Fasal 4 rang undang-undang tersebut yang memasukkan Seksyen baru 4a untuk membenarkan Menteri untuk melantik pegawai dalam perkhidmatan kerajaan sebagai Pendaftar Wang Tak Dituntut dan seorang atau lebih dalam perkhidmatan sebagai Timbalan Pendaftar Wang Tak Dituntut dan Penolong Pendaftar Wang Tak dituntut.

Selain itu tambahnya, berkenaan Fasal 9 iaitu meminda sub Seksyen 10(a)(1) Akta 370  bagi memperuntukkan bahawa Pendaftar Wang Tak Dituntut yang mengandungi butir-butir mengenai wang tak dituntut yang dipegang oleh syarikat atau firma yang kekal tidak dibayar sehingga ke hari terakhir bulan Disember tahun yang sebelumnya hendaklah disiar melalui perantara elektronik atau secara penyampaian elektronik.

“Sehubungan dengan itu apakah bentuk mekanisma pemantauan yang dilaksanakan bagi memastikan syarikat atau firma berkaitan mematuhi arahan penyiaran menerusi perantaraan elektronik atau secara penyampaian elektronik.

“Berapa lamakah tempoh sesuatu notis itu disiarkan? Dan apakah terdapat remedi bagi pihak yang melanggar arahan tersebut. Selain itu, apakah terdapat mekanisme bagi memastikan informasi yang disiarkan itu sampai kepada mereka yang berkaitan,” soal beliau. – HARAKAHDAILY 26/3/2024

- Advertisement -