Hijrah perlukan pengorbanan

Afnan Hamimi dalam program Tazkirah Ramadan anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH) di Kuala Lumpur pada hari ini, 26 Mac 2024, (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hijrah memerlukan sebuah pengorbanan dan dalam konteks sejarah Islam, peperangan Badar yang berlaku semasa tahun kedua hijrah antara bukti pengorbanan dan kesulitan yang ditanggung oleh Rasulullah SAW dan para sahabat pada waktu itu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, jika  berhijrah ke tempat baharu, kita sepatutnya bebas dari sebarang masalah kerana kita telah meninggalkan masalah-masalah tersebut sebelum mula berhijrah. 

- Advertisement -

“Tetapi ia tidak berlaku sewaktu penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari Mekah ke Madinah, di mana berlakunya satu siri peperangan yang disebut sebagai Badar al-Kubra.

“Sepatutnya bila dah berhijrah, duduk di tempat baharu, selesailah. Habislah semua masalah-masalah itu. Tinggalkanlah di Mekah (dalam konteks Mekah-Madinah). Namun, bila duduk di Madinah, ada satu lagi peperangan berlaku,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Tazkirah Zuhur Ramadan anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH) di Kuala Lumpur yang turut boleh ditonton di Facebook HarakahDaily dan TV Pas.

Tambah beliau, antara sebab kenapa berlakunya peperangan tersebut adalah disebabkan oleh timbulnya persepsi negatif yang dilontarkan kepada rombongan Rasulullah SAW bahawa baginda hendak menyerang rombongan perdagangan pihak Quraisy. 

“Jadi maknanya, perang persepsi sebegini telah lama berlaku, bukan setakat sekarang. Dulu tiada teknologi, hari ini ada teknologi. Maka, lebih mudah dan cepat berlaku perang persepsi”, ujarnya. 

Rombongan secara aman tersebu, ujar beliau telah bertukar menjadi persiapan peperangan bagi kedua-dua belah pihak disebabkan oleh persepsi yang terjadi itu. 

“Tentera Quraisy pada waktu itu mempunyai kekuatan 1,000 orang dengan 600 daripadanya berperisai dari kepala hingga ke kaki. Mereka juga dilengkapi dengan 600 ekor kuda, 700 ekor unta dan sekumpulan penyanyi wanita yang digunakan memberikan sokongan.

“Bagi pihak Tentera Islam pula hanya ada 313 anggota, 70 ekor unta dan 3 ekor kuda. Walaupun dengan jumlah kelengkapan yang jauh lebih sedikit, tentera Islam berjaya menumpaskan kekuatan tentera Quraisy dan memenangi peperangan Badar,” kongsi beliau. 

Beliau menyatakan, kemenangan tentera Islam itu didorong oleh tiga perkara utama. Pertama, Ainul Yaqin iaitu orang yang merasakan dan menyedari kehadiran Allah SWT dekat sekali dengan dirinya. 

“Kedua, Ilmul Yaqin iaitu keyakinan yang terbina dengan ilmu dan logik akal fikiran. 

“Ketiga, Haqqul Yaqin iaitu keyakinan yang terbina dengan penglihatan, penghayatan, ilmu dan keimanan. 

“Haqqul Yaqin tidak ada dalam pertimbangan barat. Ia juga tiada dalam orang yang mementingkan kuantiti. Kualiti mesti datang daripada iman dan akhlak sebagai sumbernya”

“Maknanya, kualiti dapat mengatasi kuantiti. Namun, dengan kebergantungan pada Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/3/2024

- Advertisement -