Perkayakan diri dengan pelbagai ilmu seiring perubahan zaman

Halim (atas, tengah) dalam program Majlis Iftar Pendidik Muslimah bersama PJ Selangor di Selayang, Selangor.
- Advertisement -

SELAYANG: Golongan pendidik disaran agar sentiasa memperkayakan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan agar penyampaian pembelajaran seiring dengan perubahan zaman.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Halim Tamuri berkata, pendidik khususnya dalam kalangan Muslimah diseru agar menghayati peranan utama mereka sebagai guru dan sentiasa bersabar dalam menghadapi karenah pelajar hari ini.

- Advertisement -

Beliau berkata dalam ucapannya dalam program Majlis Iftar Pendidik Muslimah bersama PJ Selangor anjuran Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor yang telah berjaya mengumpulkan seramai 80 orang pendidik di seluruh Selangor, di Dewan Catheleya Selayang baru-baru ini.

Turut hadir ialah Ketua Muslimat Dewan Muslimat PAS Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan dan Pengerusi Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor, Nor Zarina Mohd Azhar.

Tambah Halim yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Payajaras, dalam menghadapi pelajar dalam pada hari ini yang sangat mencabar, apa yang diperlukan ialah kesabaran dan kebolehan penguasaan diri pendidik ketika bertindak sebagai pendidik.

“Pendidikan dan pembelajaran mestilah sentiasa dilihat relevan dan menarik minat pelajar, lebih-lebih lagi pembelajaran agama,” tegasnya.

Menurut Halim, guru bukan sekadar mendidik malah mereka harus menjadi inspirasi, penggerak dan pengubah hidup pelajar agar menjadi lebih baik.

Sementara itu, Ustazah Wan Hasrina pula berkata, pendidik harus ada hubungan dua hala yang baik dengan pelajar.

Ia adalah agar golongan pendidik lebih mudah didekati dan dididik menjadi insan yang tahu erti ‘benar’ dan ‘salah’, ‘dosa’ dan ‘pahala’, hinggalah terbina generasi yang mempunyai jati diri Islam yang kukuh suatu masa nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/3/2024

- Advertisement -