PN ucap takziah buat rakyat Rusia

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PERIKATAN NASIONAL (PN) mengucapkan takziah buat rakyat Rusia yang terlibat dalam serangan tembakan rambang di sebuah konsert di Moscow, Jumaat (23 Mac) lalu.

Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Ahli Parlimen Perikatan Nasional  Kuala Lumpur, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tragedi yang menyebabkan lebih 100 orang maut dalam kejadian tersebut merupakan sesuatu yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

- Advertisement -

“Kami bersama-sama dengan ahli-ahli keluarga yang baru sahaja kehilangan kehilangan orang yang tersayang daripada keganasan sebegini yang tidak berhati perut,” katanya.

Menurutnya, kejadian yang berlaku di Dewan Bandaraya Crocus itu merupakan suatu keganasan luar biasa, justeru beliau bersama-sama seluruh ahli Parlimen PN bersolidariti bersama-sama dengan kerajaan Rusia dan rakyat negara itu dalam isu tersebut.

Tambah beliau, perkara sebegini benar-benar mengejutkan bukan sahaja terhadap kerajaan Rusia dan rakyatnya tetapi juga sesuatu yang menyedihkan memandangkan ramai orang awam yang tidak bersalah menjadi mangsa keadaan.

“Tindakan keganasan sebegini tidak mempunyai ruang sedikitpun terhadap mana-mana masyarakat di seluruh dunia dan kami benar-benar amat keras mengutuk mereka yang bertanggungjawab melakukan sedemikian,” ujarnya.

Beliau menyatakan setiap ahli PN akan terus bersama-sama dengan rakyat Rusia dan berharap pihak yang melakukan keganasan tersebut mendapat hukuman yang setimpal dengan kesalahan tersebut. – HARAKAHDAILY 25/3/2024

- Advertisement -