SEMENANJUNG GAZA: Genosid Zionis Israel di Semenanjung Gaza ternyata menyasarkan golongan akademik apabila tiga presiden, dan 95 dekan dan profesor university terkorban.
Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean yang berpangkalan di Geneva dalam catatanya di platform X berkata, sasaran genosid terhadap golongan akademik di Gaza itu adalah disengajakan sebagai manifestasi tambahan jenayah pembunuhan beramai-ramai yang kini sedang dilakukan Israel sejak 7 Oktober 2023.
Salah seorang ahli akademik terpenting di Gaza yang dibunuh Israell ialah Rektor Universiti Islam Gaza di Semenanjung Gaza, Sufyan Tayeh, dan keluarganya, terbunuh dalam serangan udara Israel di kawasan Al-Faluja di Jabalia di timur laut Semenanjung Gaza.
Tayeh, 53, yang merupakan juga seorang saintis pada 2021 diklasifikasikan berada dalam 2% daripada penyelidik terbaik di dunia.
Dilahirkan pada tahun 1971 di utara Gaza, Tayeh adalah seorang penyelidik dalam fizik dan matematik gunaan.
Dalam pada itu kekejaman Zionis Israel yang terkini menyaksikan ia mengharamkan trak bantuan Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) ke utara Gaza, lokasi di mana 70 peratus penduduk menghadapi tahap kekurangan makanan yang melampau, lapor Al Jazeera.
Terkini dari Gaza juga termasuklah:
- Tentera Israel telah mengepung hospital al-Amal dan Nasser di selatan Gaza, manakala di utara, tentera meneruskan serbuan maut selama seminggu ke atas kompleks perubatan al-Shifa.
- Sekurang-kurangnya sembilan rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan Israel ke atas Deir al-Balah, dengan beberapa orang masih terperangkap di bawah runtuhan.
- Usaha perantaraan untuk menamatkan pertumpahan darah di Gaza nampaknya bergelut, dengan seorang pegawai Hamas memberitahu Al Jazeera bahawa perunding Israel telah menolak cadangan terbaharu mereka untuk gencatan senjata.
- Sekurang-kurangnya 32,226 rakyat Palestin telah terbunuh dan 74,518 yang lain cedera dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023. – HARAKAHDAILY 25/3/2024