Halang bantuan makanan: Zionis Israel kekal kejam

Penduduk Gaza terutama kanak-kanak kini diancam masalah kebuluran. (FOTO: Wisconsin Public Radio)
- Advertisement -

SEMENANJUNG GAZA: Tindakan Zionis Israel menghalang Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) membawa masuk bantuan makanan ke kawasan di utara Gaza menunjukkan negara haram itu kekal zalim.

Pesuruhjaya Tinggi UNRWA, Philippe Lazzarini berkata, pihaknya menyelar tindakan terbaharu Israel itu sebagai keterlaluan dan sengaja dilakukan untuk menghalang bantuan menyelamatkan nyawa semasa kebuluran di utara Gaza pada ketika ini.

- Advertisement -

“Tindakan Israel itu akan menyebabkan lebih ramai penduduk Gaza mati kebuluran dan kehausan dengan lebih cepat serta kekurangan tempat perlindungan. Sekatan ini mesti dihentikan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap UNRWA, Juliette Touma berkata, keputusan sekatan berkenaan disampaikan oleh pegawai ketenteraan Israel ketika perjumpaan yang diadakan bersama mereka pada Ahad (24 Mac).

“Tiada sebab diberikan mengapa sekatan itu dilakukan,” ujarnya. 

Gaza mengalami krisis kemanusiaan yang teruk selepas siri peperangan antara Israel-Hamas yang berlarutan sejak 7 Oktober tahun lalu. 

UNRWA pada minggu lalu memaklumkan krisis kebuluran dijangka berlaku di Utara Gaza pada Mei tahun ini melainkan adanya tindakan lanjut yang diambil oleh pihak bertanggungjawab. 

Menurut Touma, sekatan yang dilakukan Israel ibarat menambah ‘satu lagi paku pada keranda’ dalam usaha mendapatkan bantuan yang amat diperlukan rakyat Gaza yang bergelut akibat peperangan berkenaan. 

“Pihak berkuasa Israel juga menolak permintaan UN untuk menghantar pasukan perubatan ke Hospital Al-Shifa di Utara Gaza bagi memindahkan penduduk-penduduk yang cedera,” katanya.

Dalam pada itu, Israel mendakwa kakitangan UNRWA telah sama-sama terlibat dalam serangan yang bermula pada 7 Oktober lalu sambil menyatakan mereka sebagai ‘barisan hadapan’ Hamas. – HARAKAHDAILY 25/3/2024

- Advertisement -