Suami anak ringan tulang, ibu bahagia

Tujuh anak bersama suaminya menceriakan kehidupan Nur Baizura.
- Advertisement -

PERANAN wanita kini dilihat setanding golongan lelaki. Jika ditanya kepada setiap wanita bergelar isteri atau ibu, apa yang mereka inginkan dalam kehidupan? Semestinya jawapan yang diberikan adalah menjadi seorang isteri dan ibu yang hebat, selain mengimpikan keluarga bahagia.

Dalam suasana kehidupan serba mencabar dengan tekanan tempat kerja, adakah matlamat itu mustahil untuk dicapai?

Pengasas Kumpulan Mak-Mak Gaya Moden (MMGM), Nur Baizura A Bakar berkata, wanita hebat adalah mereka yang dapat mengawal emosi, mewujudkan suasana tenang di rumah, setiap rutin harian dapat diselesaikan dan menyediakan semua keperluan suami dan anak.

- Advertisement -

Kunci utama kepada semua ini terletak pada wanita sendiri, terutama perlu bijak menguruskan masa selaras dengan apa yang ingin dilakukan. Nur Baizura yang mempunyai tujuh cahaya mata berkongsi petua untuk menjadi seorang ibu dan isteri hebat, iaitu:

Pertama
Sentiasa fokus terhadap apa yang dilakukan. Letakkan sasaran apakah pengakhiran kerja yang sedang dilakukan. Contohnya, masak untuk makan malam. Perlu pastikan semua bahan disiapkan dan terus memasak, bukan buat perkara lain yang tiada dalam perancangan.

“Paling baik buat senarai, sebelum tidur tulis 10 perkara yang ingin dilakukan esok termasuk menu, pakaian yang ingin dipakai, bahagian rumah hendak dibersihkan dan tugas berkaitan pekerjaan.

“Keesokan hari, buat kerja berdasarkan senarai itu. Jika tidak dapat semua, buat sekurang-kurangnya tiga tugasan. Kerja yang belum siap dibawa ke hari berikutnya. Apabila ada perancangan secara automatik, fokus kita tidak lari,” katanya.

Kedua
Belajar melakukan kerja dengan cepat. Lupakan seketika apa sedang difikirkan, termasuk telefon, pelanggan atau apa sahaja yang boleh mengganggu fikiran. Kalau boleh, ubah tetapan telefon ke mod penerbangan untuk mendapat masa berkualiti. Kaedah ini membantu kerja disiapkan lebih cepat kerana tiada gangguan.

Ketiga
Melakukan beberapa kerja pada suatu masa. Sebagai contoh, ketika memasak, boleh membasuh pakaian atau cuci pinggan mangkuk. Ketika mandi pula, boleh mencuci dinding atau lantai bilik mandi. Jadi, dua atau tiga kerja boleh disiapkan secara serentak. Kaedah ini menjimatkan masa dan tenaga.

Keempat
Anak bukan tuan kepada ibu bapa. Ini bermaksud kerjasama ahli keluarga termasuk anak perlu dijadikan rutin harian. Anak perlu dididik sejak kecil untuk berkongsi tanggungjawab di rumah dan membantu mengurangkan beban ibu bapa. Pada masa sama, mereka dilatih belajar berdikari.

“Ibu perlu bijak membahagikan tugas ahli keluarga. Semua kerja dalam rumah boleh dikongsi bersama dan bukan hanya seorang ibu. Ibu juga perlu bijak memikat ayah dan anak untuk melakukan kerja rumah. Jadi, ibu akan mempunyai lebih masa untuk diluangkan bersama keluarga,” katanya.

Kelima
Gunakan peralatan terkini untuk membantu ‘perjuangan’ di dapur. Peralatan elektrik seperti periuk tekanan tinggi, periuk menggoreng tanpa minyak, mesin basuh automatik, pengering baju, seterika berwap dan vakum robot membantu kerja rumah siap dengan lebih cepat.

“Memang tidak dapat dinafikan harga peralatan berkenaan mahal, tetapi kita boleh menabung untuk tujuan itu,” ujarnya.

Keenam
Jangan bertangguh melakukan kerja. Setiap kali bertangguh, ini akan menggandakan tugasan sedia ada. Jadi kehidupan boleh menjadi huru-hara.

Ketujuh
Seseorang yang ingin berjaya perlu menuntut ilmu tidak kira di mana berada. Ilmu amat penting dan menjadi pengukur dalam kehidupan kerana membantu menentukan sesuatu perkara itu baik atau sebaliknya.

“Kita perlu rajin membaca dan menerokai ilmu baharu untuk meningkatkan pengetahuan sedia ada. Ilmu itu luas, jadi terokailah ilmu yang boleh membantu untuk menambah nilai cara mengurus emosi, kerjaya, kewangan dan ilmu keibubapaan,” katanya.

Kelapan
Tetapkan keutamaan diri sendiri, terutama untuk membantu meningkatkan produktiviti. Kita perlu menyenaraikan apa yang ingin dilakukan mengikut kategori dengan mendahulukan perkara penting dan melakukan perkara kurang penting di kemudian hari.

“Melalui cara ini, kita tidak akan terkejar-kejar membuat sesuatu kerja. Kita boleh menyimpan senarai ini dalam aplikasi telefon, buku perancangan atau membuat tampalan nota di tempat yang mudah dilihat,” katanya.

Kesembilan
Sayangi diri sendiri. Wanita perlu menyayangi diri sendiri dengan menjaga kesihatan, kebersihan dan penampilan. Apabila sihat dan tenang, aura ibu akan dirasai oleh anak dan suami. Bagi memastikan kesihatan sentiasa baik, amalkan pemakanan teratur dan seimbang. Boleh juga mengambil makanan tambahan bagi memastikan kekal cergas dan bertenaga,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/3/2024

- Advertisement -