‘Konsert’ perang kuasa dunia bermula…

Perwakilan ke Mesyuarat Kesalamatan PBB di New York City pada 22 Mac 2024 ( dari kiri), Linda Thomas-Greenfield, Vasily Nebenzya dan Zhang Jun.
- Advertisement -

ENTAH suatu kebetulan atau plot yang sudah dirancang rapi, seolah-olah menonton filem perisikan tersohor James Bond 007 atau Mission: Impossible.

Tiba-tiba sahaja dunia dikejutkan dengan kejadian serangan hendap di Dewan Bandaraya Crocus di Moscow, Rusia ketika konsert kumpulan rock terkenal negara itu, Picnic sedang berlangsung pada malam tadi.

- Advertisement -

Tragedi yang telah mengorbankan kira-kira 133 nyawa dan 187 yang lain mengalami kecederaan itu berlaku pada tarikh 22 Mac 2024, sejurus duta Rusia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Vasily Nebenzya ketika itu berada di ibu pejabat PBB di New York City, untuk mesyuarat Majlis Keselamatan PBB.

Apa yang ada di situ? 

Walaupun berada di bumi Amerika Syarikat (AS), Nebenzya dengan berani dan lantangnya telah mendedahkan kepada dunia bahawa kandungan draf resolusi PBB yang digubal AS sebenarnya, mengandungi muslihat untuk memberi ‘lampu hijau’ (kebenaran) buat Israel untuk menyerang Rafah di Semenanjung Gaza.

Justeru, dalam mesyuarat Majlis Keselamatan PBB di ibu pejabat PBB di New York City itu, Rusia dan China, serta Algeria telah mengundi menentang resolusi yang digubal AS itu, manakala 11 negara daripada 15 anggota pertubuhan tersebut menyokong resolusi berkenaan; dan hanya satu negara, Guyana mengambil pendekatan berkecuali.

Rafah misi terakhir Zionis di Gaza?

Namun, apabila Rusia dan China bersatu memveto resolusi tersebut dan Majlis Keselamatan PBB tidak meluluskan draf resolusi AS itu, AS melalui dutanya ke PBB, Linda Thomas-Greenfield yang auranya kelihatan seperti seorang ‘ibu atau nenek yang baik hati’ sebaliknya menunjukkan taring ‘Amerika’ dirinya dengan menyelar sambil melabelkan Rusia dan China sebagai ‘keterlaluan’.

Apakah ‘keterlaluan’ yang dimaksudkannya itu?

Ohhh… hujah Thomas-Greenfield, kedua-dua Rusia dan China dilabelkan sebagai keterlaluan kerana ‘enggan mengutuk pejuang Islam Hamas kerana membakar orang hidup-hidup, kerana menembak mati orang awam yang tidak bersalah di konsert dan kerana memperkosa wanita dan gadis’.

“Ini adalah serangan paling teruk ke atas orang Yahudi sejak Holocaust,” tegas Thomas-Greenfield merujuk kepada serangan pejuang Islam-Palestin Gaza, Hamas ke atas Israel tanggal 7 Oktober 2023 – tarikh bermulanya serangan balas Israel ke atas Gaza yang kini berlarutan sudah lebih enam bulan.

Hamas telah berulang kali menafikan dakwaan pejuangnya telah melakukan tindakan keganasan seksual ketika serangan 7 Oktober 2023 ke atas Israel itu.

Belum pernah bukti kukuh dan nyata dikemukakan atas dakwaan itu, tetapi apa yang seluruh dunia lihat sekarang ini dan jelas bukti nyata terpampang ialah genosid Israel terhadap lebih 30,000 nyawa orang awam penduduk Gaza.

Benar sepertimana hujah Duta Besar China ke PBB, Zhang Jun yang hadir dalam mesyuarat Majlis Keselamatan pertubuhan dunia itu, bahawa PBB telah ‘mengheret kakinya’ (dan seluruh dunia) terlalu lama dalam isu gencatan senjata segera di Semenanjung Gaza.

Malah penegasan Zhang bahawa draf resolusi AS itu ‘sebenarnya mengelak isu gencatan senjata, kekal samar-samar dan mengelak daripada gesaan gencatan senjata segera di Gaza’ ternyata telah menyokong padu pendedahan yang diutarakan Nebenzya.

Umum mengetahui bahawa Rafah kini menjadi tempat perlindungan lebih satu juta ‘pelarian di negara sendiri’ penduduk Palestin di Gaza, dan jika Rafah pun diserang, maka akan bertambahlah korban nyawa genosid Israel, atau itukah niat Israel (yang disokong padu AS) mahu menghapuskan sekalian umat Palestin di bumi Gaza?

Kita baru sahaja dihidangkan dengan video tular yang menyaksikan beberapa orang awam Palestin yang sedang berjalan kaki diletupkan begitu sahaja, dan tidak mustahil serangan terhadap Rafah kelak adalah misi terakhir Israel di bumi Gaza – untuk menguasai Gaza sepenuhnya seratus peratus dan kali ini tanpa saki-baki rakyat Palestin.

Persamaan Konsert Picnic, Festival Muzik Nova

Seperti menyaksikan satu putaran lengkap, tragedi yang berlaku di Dewan Bandaraya Crocus, Moscow ketika konsert rock Picnic itu seperti cuba mengingatkan kembali satu dunia terhadap peristiwa ketika Hamas menyerbu Festival Muzik Nova di Israel pada 7 Okt 2023.

Apakah motifnya? 

Adakah ia (walau siapa atau pertubuhan apa dalang di sebalik serangan hendap konsert rock Picnic di Moscow itu – yang menurut laporan terkini media Barat dalangnya dikaitkan dengan militia ISIS) cuba untuk memperlihatkan semua yang berlaku ini bahawa perang Gaza-Hamas selama lebih enam bulan adalah berpunca daripada serangan Hamas terhadap Israel tanggal 7 Okt 2023 itu?

Jika betul itulah motifnya, ternyata sekali ia adalah motif yang bodoh dan bebal! Satu dunia sudah tahu kenapa Hamas menyerang Israel pada 7 Okt 2023. 

Selain bukti nyata kematian yang berlaku di Festival Muzik Nova itu akibat tembakan helikopter tempur tentera Israel sendiri, serangan Hamas itu adalah atas dasar mendapatkan semula tanah penduduk Palestin yang diceroboh dan dirampas secara haram oleh rejim Zionis Yahudi tajaan Israel itu.

Bukankah Semenanjung Gaza ‘penjara terbesar di dunia’ yang dikuasai Israel?

Sebenarnya niat dan cita-cita jahat Israel untuk memadamkan negara Palestin dari peta dunia sudah tercetus sejak tertubuhnya negara haram Israel pada 1947 melalui perjanjian Balfour.

Jangan lupa penduduk Palestin telah dihalau dan dipisahkan dari negara mereka, serta dibahagkan kepada dua bahagian – Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, manakala kawasan lain telah dirampas Zionis lalu membentuk negara haram Israel.

Gaza ialah umpannya…

Kekal dengan sifat perampas hak orang lain, perjanjian persempadanan yang dimeterai pada 1967 selepas perang Arab-Israel memang tidak pernah dipatuhi Israel. 

Sehingga kini, Israel berterusan menceroboh masuk ke tanah penduduk Palestin, merampas rumah dan harta benda mereka tanpa sebarang sekatan, jadi itulah punca kebangkitan Hamas – dan kini, dunia mengetahui tentang fakta yang cuba diselindungkan selama ini.

Sesungguhnya, mesyuarat Majlis Keselamatan PBB 22 Mac 2024 itu telah dicatat dalam sejarah dunia sebenarnya adalah sebagai suatu ‘konsert’ perang perebutan kuasa dunia yang menakutkan…dan bumi Palestin, khususnya Gaza ialah umpannya.

Sementelah, Perancis dalam kenyataan semalam, Jumaat (22 Mac) berikrar akan mengusahakan resolusi gencatan senjata baharu PBB mengenai Gaza selepas draf resolusi AS itu diveto Rusia dan China.

Justeru, ini bukan penamat tetapi adalah satu permulaan… – HARAKAHDAILY 23/3/2024

- Advertisement -