Gaza teladan istiqamah

- Advertisement -

SELURUH dunia menyaksikan penduduk Gaza telah memilih Hamas (kumpulan Islam) untuk mentadbir wilayahnya yang sangat kecil secara demokrasi, namun ia tidak diiktiraf kerana Islamnya. Sekalipun demokrasi pilihan rakyat dianggap suara Tuhan (Vox Populi, Vox Dei) atau diubah suai di sini oleh kumpulan Madani dengan slogan suara rakyat suara keramat, namun sistem demokrasi itu tetap diharamkan bagi Islam memenanginya.

- Advertisement -

Hanya bukan Islam yang diiktiraf sahaja, sama ada berhaluan kanan atau kiri termasuk kalangan Islam liberal yang menjadi sekular terpesong daripada ajaran Islam sebenar dan hidayah Allah yang telah dinyatakan dalam Kitab Allah (al-Quran) dan Hikmah Rasulullah SAW (Sunnah).

Akibatnya, rakyat Gaza dikepung dalam penjara wilayahnya, disekat ekonominya dan dibunuh para pemimpin Hamas dan Tanzim Jihad sehingga seorang demi seorang gugur syahid. Ia bermula dengan syahidnya pengasas Hamas iaitu Syeikh Ahmad Yasin, Dr. Abdul Aziz al-Rantisi dan lain-lain diikuti dengan berkali-kali serangan tentera Israel dan terkini dilakukan serangan paling besar dan ganas yang melampaui undang-undang antarabangsa, tanpa peduli terhadap warga tua, kanak-kanak, kaum wanita dan pesakit di hospital dan pusat rawatan, rumah ibadat masjid dan gereja, termasuk khemah perlindungan tanah perkuburan.

Semua serangan itu dilakukan dengan ganas dan melampau. Perkara ini dinyatakan sebabnya oleh firman Allah SWT:

﴿وَمَا نَقَمُواْ مِنۡهُمۡ إِلَّآ أَن يُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ ٱلۡعَزِيزِ ٱلۡحَمِيدِ ٨ ٱلَّذِي لَهُۥ مُلۡكُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۚ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ شَهِيدٌ ٩﴾

“Dan mereka tidak menyeksa orang-orang Mukmin itu melainkan kerana orang-orang Mukmin itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa, lagi Maha Terpuji. (8) (Tuhan) yang mempunyai kerajaan langit dan bumi; dan Allah itu Maha Menyaksikan segala sesuatu. (9)” [Surah al-Buruj: 8-9]

Segala tekanan dan serangan itu berlaku disebabkan umat Islam itu beriman kepada Allah dan menegakkan ajaran Islam yang sebenar, walaupun dalam keadaan mereka mengambil pendekatan demokrasi bagi mendapatkan sokongan rakyat semata-mata untuk memperoleh majoriti agar dapat menubuhkan sebuah kerajaan sendiri. Walau bagaimanapun, kemenangan itu tidak diiktiraf oleh Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat dan negara Eropah.

Mereka menegakkan sebuah kerajaan minoriti Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan kumpulan sekular secara paksa yang diiktiraf pula oleh negara-negara Arab dan Islam. Pada masa yang sama, memaksa agar diterima penyelesaian dua negara (two-state solution) untuk Zionis dan Arab Palestin yang ditolak oleh Israel dengan kekerasan apabila secara terus memasukkan pendatang Yahudi di kawasan Arab, membina tembok pemisah dan merobohkan rumah-rumah kediaman, kedai perniagaan dan kebun mereka.

Apabila Hamas menubuhkan kerajaannya sendiri di Gaza, tiba-tiba mereka dikepung dari segala sumber ekonomi dan pentadbirannya, diikuti dengan serangan ketenteraan yang bertubi-tubi secara ganas. Terus memaksa supaya diterima kerajaan minoriti yang ditolak oleh rakyat Palestin, kini bukan sahaja di Gaza, bahkan di seluruh Palestin apabila nyata kerajaan itu hanyalah boneka Zionis yang zalim dan berlaku banyak penyelewengan terhadap bantuan yang diberikan oleh negara-negara Arab dan Islam.

Hukum Islam mengharamkan sesebuah negara itu berwala’ kepada musuh Islam. Firman Allah SWT:

﴿لَّا يَتَّخِذِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۖ وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٰلِكَ فَلَيۡسَ مِنَ ٱللَّهِ فِي شَيۡءٍ إِلَّآ أَن تَتَّقُواْ مِنۡهُمۡ تُقَىٰةٗۗ وَيُحَذِّرُكُمُ ٱللَّهُ نَفۡسَهُۥۗ وَإِلَى ٱللَّهِ ٱلۡمَصِيرُ ٢٨﴾

“Janganlah orang-orang Mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Sesiapa berbuat demikian, nescaya tiadalah ia mendapat pertolongan Allah, kecuali kerana (siasah) hendak memelihara diri daripada sesuatu yang ditakuti daripada mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri-Nya (seksa-Nya). Dan hanya kepada Allah kembali (kamu).” [Surah Ali ‘Imran: 28]

Firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَتُرِيدُونَ أَن تَجۡعَلُواْ لِلَّهِ عَلَيۡكُمۡ سُلۡطَٰنٗا مُّبِينًا ١٤٤﴾

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Inginkah kamu mengadakan alasan yang nyata bagi Allah (untuk menyeksamu)?” [Surah al-Nisa’: 144]

Firman Allah SWT:

﴿إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩﴾

“Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” [Surah al-Mumtahanah: 9]

Apabila musuh sudah menceroboh, maka jihad menentangnya menjadi fardu ain hukumnya. Para ulama’ menetapkan dua langkah yang diwajibkan dan satu langkah diharamkan. Islam mewajibkan ’azimah dan rukhsah, sedangkan diharamkan menjadi pelarian yang menyerah kalah.

‘Azimah ialah perang berjihad dengan senjata, mengikut hukum Islam tanpa melampau, sama ada mati syahid atau mencapai kemenangan, dalam keadaan tanpa menyerah kalah. Firman Allah SWT:

﴿وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ ١٩٠﴾

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 190]

Firman Allah SWT:

﴿۞إِنَّ ٱللَّهَ ٱشۡتَرَىٰ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَنفُسَهُمۡ وَأَمۡوَٰلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلۡجَنَّةَۚ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَيَقۡتُلُونَ وَيُقۡتَلُونَۖ وَعۡدًا عَلَيۡهِ حَقّٗا فِي ٱلتَّوۡرَىٰةِ وَٱلۡإِنجِيلِ وَٱلۡقُرۡءَانِۚ وَمَنۡ أَوۡفَىٰ بِعَهۡدِهِۦ مِنَ ٱللَّهِۚ فَٱسۡتَبۡشِرُواْ بِبَيۡعِكُمُ ٱلَّذِي بَايَعۡتُم بِهِۦۚ وَذَٰلِكَ هُوَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ ١١١﴾

“Sesungguhnya, Allah telah membeli daripada orang-orang Mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar daripada Allah di dalam Taurat, Injil dan al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka, bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.” [Surah al-Taubah: 111]

Firman Allah SWT:

﴿قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُكُمۡ وَإِخۡوَٰنُكُمۡ وَأَزۡوَٰجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٰلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَٰرَةٞ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٖ فِي سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَٰسِقِينَ ٢٤﴾

“Katakanlah, ‘Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatir akan kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya’. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq.” [Surah al-Taubah: 24]

Hijrah ialah keluar meninggalkan tanah air dengan merancang untuk kembali semula berjihad, apabila terpaksa berhijrah setelah dihalau keluar dari negara sendiri. Firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَٱلَّذِينَ هَاجَرُواْ وَجَٰهَدُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ أُوْلَـٰٓئِكَ يَرۡجُونَ رَحۡمَتَ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٢١٨﴾

“Sesungguhnya, orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [Surah al-Baqarah: 218]

Firman Allah SWT:

﴿ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠﴾

“(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanyalah Allah’. Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebutkan nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong-Nya (agama-Nya). Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” [Surah al-Hajj: 40]

Adapun langkah berundur menyerah kalah menjadi pelarian merupakan suatu perbuatan yang dimurkai oleh Allah. Firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا لَقِيتُمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ زَحۡفٗا فَلَا تُوَلُّوهُمُ ٱلۡأَدۡبَارَ ١٥ وَمَن يُوَلِّهِمۡ يَوۡمَئِذٖ دُبُرَهُۥٓ إِلَّا مُتَحَرِّفٗا لِّقِتَالٍ أَوۡ مُتَحَيِّزًا إِلَىٰ فِئَةٖ فَقَدۡ بَآءَ بِغَضَبٖ مِّنَ ٱللَّهِ وَمَأۡوَىٰهُ جَهَنَّمُۖ وَبِئۡسَ ٱلۡمَصِيرُ ١٦﴾

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bertemu dengan orang-orang yang kafir yang sedang menyerangmu, maka janganlah kamu membelakangi mereka (mundur). (15) Sesiapa yang membelakangi mereka (mundur) pada waktu itu, kecuali berbelok untuk (siasah) berperang atau hendak menggabungkan diri dengan pasukan yang lain, maka sesungguhnya orang itu kembali dengan membawa kemurkaan daripada Allah, dan tempatnya ialah neraka Jahanam. Dan amat buruklah tempat kembalinya. (16)” [Surah al-Anfal: 15-16]

Firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ ٱرۡتَدُّواْ عَلَىٰٓ أَدۡبَٰرِهِم مِّنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ ٱلۡهُدَى ٱلشَّيۡطَٰنُ سَوَّلَ لَهُمۡ وَأَمۡلَىٰ لَهُمۡ ٢٥ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَالُواْ لِلَّذِينَ كَرِهُواْ مَا نَزَّلَ ٱللَّهُ سَنُطِيعُكُمۡ فِي بَعۡضِ ٱلۡأَمۡرِۖ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ إِسۡرَارَهُمۡ ٢٦ فَكَيۡفَ إِذَا تَوَفَّتۡهُمُ ٱلۡمَلَـٰٓئِكَةُ يَضۡرِبُونَ وُجُوهَهُمۡ وَأَدۡبَٰرَهُمۡ ٢٧ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمُ ٱتَّبَعُواْ مَآ أَسۡخَطَ ٱللَّهَ وَكَرِهُواْ رِضۡوَٰنَهُۥ فَأَحۡبَطَ أَعۡمَٰلَهُمۡ ٢٨﴾

“Sesungguhnya, orang-orang yang kembali ke belakang (kepada kekufuran) sesudah petunjuk itu jelas bagi mereka, syaitan telah menjadikan mereka mudah (berbuat dosa) dan memanjangkan angan-angan mereka. (25) Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka (orang-orang munafiq) itu berkata kepada orang-orang yang benci kepada apa yang diturunkan Allah (orang-orang Yahudi), ‘Kami akan mematuhi kamu dalam beberapa urusan’, sedang Allah mengetahui rahsia mereka. (26) Bagaimanakah (keadaan mereka) apabila malaikat mencabut nyawa mereka seraya memukul-mukul muka mereka dan punggung mereka? (27) Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka mengikuti apa yang menimbulkan kemurkaan Allah dan kerana mereka membenci keredaan-Nya, sebab itu Allah menghapus (pahala) amal-amal mereka. (28)” [Surah Muhammad: 25-28]

Seluruh dunia menyaksikan apabila Amerika Syarikat dan Zionis menawarkan peruntukan kewangan yang tidak terhad jumlahnya supaya rakyat Palestin melarikan diri dari tanah air mereka dan ditempatkan di mana sahaja, namun tawaran itu ditolak dengan tegas.

Apabila Hamas yang melancarkan serangan melalui Gaza dan berjaya mengalahkan tentera Israel sehingga semua kuasa besar Barat (Amerika Syarikat dan Eropah) mengerahkan bala tentera dan bantuan senjata yang bertali arus menyerang Gaza dengan cara yang paling melampau dan ganas, seluruh dunia menyaksikan seluruh rakyat Palestin bersatu dengan gagah berani. Ia bermula daripada kalangan orang-orang tua, kaum wanita dan kanak-kanak melaungkan kalimah Allah bagi menghadapi musuh, termasuk yang berhijrah melanjutkan pelajaran di luar negara melahirkan ilmuwan dan saintis pulang berjihad atau bergerak menghantar bantuan dan bekalan.

Penduduk Gaza menolak tawaran Zionis dan sekutunya supaya menerima kerajaan boneka atau berpindah menjadi pelarian. Mereka menunaikan kewajipan jihad fardu ain untuk menyedarkan seluruh umat Islam bersama mereka dan mendapat simpati seluruh dunia yang berperikemanusiaan.

Kini, tercipta kumpulan yang menghidupkan perjuangan Islam yang dinyatakan oleh Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِي ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ يُحِبُّهُمۡ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ يُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآئِمٖۚ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٥٤ إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٰكِعُونَ ٥٥ وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ ٥٦ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُواْ دِينَكُمۡ هُزُوٗا وَلَعِبٗا مِّنَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ مِن قَبۡلِكُمۡ وَٱلۡكُفَّارَ أَوۡلِيَآءَۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ ٥٧﴾

“Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa antara kamu yang murtad daripada agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang Mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurniaan Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui. (54) Sesungguhnya, penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). (55) Dan sesiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang. (56) Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil jadi pemimpinmu, orang-orang yang menyebabkan agamamu menjadi buah ejekan dan permainan, (iaitu) antara orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu, dan orang-orang yang kafir (orang-orang Musyrik). Dan bertaqwalah kepada Allah, jika kamu betul-betul orang-orang yang beriman. (57)” [Surah al-Ma’idah: 54-57]

Dinyatakan oleh sabda Rasulullah SAW munculnya kumpulan Islam yang berjuang:

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ، لَا يَضُرُّهُمْ ‌مَنْ ‌خَالَفَهُمْ ‌وَلَا ‌مَنْ ‌خَذَلَهُمْ، حَتَّى ‌تَقُومَ ‌السَّاعَةُ.

“Masih ada dalam kalangan umatku kumpulan yang bangkit berjuang menegakkan kebenaran (Islam) yang tidak boleh dimudaratkan oleh sesiapa yang menentangnya dan mengecewakannya, sehingga berlakunya kiamat.” [Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, No. 1920, daripada Thauban bin Bujdud dan No. 1925, daripada Sa‘ad bin Abi Waqqas]

Kumpulan Islam mengambil alih perjuangan umat, setelah gagalnya kumpulan sekular yang menerima kemerdekaan negara yang ditipu oleh musuh semata-mata bagi menyekat kumpulan Islam yang memulakan perjuangan menentang penjajah.

Rakyat Palestin khususnya di Gaza menunjukkan sifat istiqamah yang diambil daripada teladan Rasulullah SAW yang melaksanakan firman Allah SWT:

﴿فَٱسۡتَقِمۡ كَمَآ أُمِرۡتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡاْۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ ١١٢ وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ ١١٣﴾

“Maka, tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat berserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya, Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. (112) Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan. (113)” [Surah Hud: 112-113]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 12 Ramadan 1445 / 23 Mac 2024 – HARAKAHDAILY 23/3/2024

- Advertisement -