Diskaun, subsidi penerbangan ke Sabah, Sarawak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan untuk memberikan diskaun atau subsidi tiket pulang bagi pengangkutan udara sepertimana diberikan kepada pengangkutan darat melalui tol untuk pulang beraya.

Ir Ts Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mencadangkan untuk perkara tersebut diberikan tiga hari sebelum hari raya mengikut algorithmnya.

- Advertisement -

“Syarikat penerbangan juga tentunya ada maklumat, bilakah tarikh biasanya mereka yang ini balik, guru-guru khususnya. Jadi kita tetapkan tiga ataupun empat hari untuk tiket pulang dan diberikan subsidi yang sama,” ujar beliau.

Beliau mengemukakan perkara itu ketika mencelah Menteri Pengangkutan semasa sesi Jawapan oleh YB Menteri-Menteri ke atas Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini sebentar tadi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, memang beliau berharap dapat buat lebih banyak hari untuk membenarkan ataupun membolehkan ramai lagi rakyat agar dapat balik ke kampung halaman dan balik semula ke Kuala Lumpur.

“Khususnya antara Semenanjung dengan Sabah Sarawak. Sebab Semenanjung dengan Sabah Sarawak tak ada opsyen lain. Kalau dalam Semenanjung kita boleh ambil train, kita boleh ambil kereta, kita boleh ambil bas.

“Nak balik Sabah Sarawak tak ada opsyen lain selain daripada penerbangan. Mengapa kita hanya buat sehala? Yang pertamanya yang telah saya jawab tadi nak balik itu orang nak balik itu dia tak ada satu kepastian bila nak balik?

“Kalau nak balik beraya, kita tahulah. Sudah tentu nak balik sebelum hari raya. Tetapi lepas raya, dia nak balik ke Semenanjung, ada yang mungkin seminggu cuti, ada yang dua minggu, so sukar untuk kita tetapkan hari mana yang kita patut letakkan harga maksima itu,” jelas Siew Fook.

Kedua menurutnya, implikasi kos yang mana inisiatif ini dibuat tanpa peruntukan daripada Kementerian Kewangan atau dalam bajet, tetapi dicari mana-mana simpanan daripada perbelanjaan dalam kementerian.

“Dan kita buat dengan lebih kreatif ada dana-dana tambahan seperti nombor pendaftaran khas dan sebagainya, kita salurkan untuk tujuan ini. Jadi kita juga kena lihat bagaimana untuk menggunakan perbelanjaan kita ini dengan optima.

“Jadi sementara ini kita akan cuba tambah dulu, mungkin untuk hari raya yang akan datang ini. Sebab saya lihat mungkin hari raya saya tak pastilah hari Rabu ke ataupun hari Selasa tapi kita tahu sudah tentu hujung minggu sebelum hari raya itu orang ramai akan balik.

“Jadi kita mungkin akan mulakan pada hari Sabtu sebelum hari raya tersebut. Hari raya akan datang ini. Jadi mungkin kita akan tambah satu dua hari untuk harga maksima ini. Itu yang kita akan mulakan dulu.

“Dan kita lihat untuk sektor balik ke Semenanjung ini bagaimana kita dapat bantu dan kita akan juga dapatkan kerjasama daripada syarikat-syarikat penerbangan,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 11/3/2024

- Advertisement -