KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu merealisasikan hasrat dan meningkatkan lagi kemajuan yang telah dicapai bagi membangunkan wilayah utara Semenanjung Malaysia sebagai kluster elektrikal dan elektronik (E&E).
Dato’ Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berkata, ini memandangkan Malaysia pada ketika ini adalah merupakan pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia.
“Dari segi kewangan siapakah yang membiayai projek ini? Seterusnya, apakah persediaan dan persiapan kerajaan bagi memastikan kejayaan projek yang besar ini termasuk penglibatan Bumiputera dalam pengurusan tertinggi di peringkat am dan teknikal?
“Perkara ini supaya keterlibatan jurutera diperluas dan bermakna bagi memperkasakan Bumiputera dalam bidang E&E dan semikonduktor,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, tadi.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata, kementeriannya sentiasa memberi komitmen bagi menarik pelaburan berkualiti untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama pelabur di rantau ini.
“Garis masa bagi kementerian dan Kerajaan Pusat untuk membangunkan wilayah utara Semenanjung Malaysia sebagai kluster E&E adalah hingga 2030. Daerah Kerian secara khususnya.. projek telah dimulakan dan dijalankan secara secepat mungkin.
“(Maka) diharapkan perkara ini dapat menghasilkan persetujuan di antara semua pihak bagi mewujudkan satu suasana gaji lebih tinggi untuk semua pekerja terutama di industri semikonduktor,” katanya.
Selain itu, katanya, persediaan dan persiapan kerajaan bagi penglibatan Bumiputera dalam pengurusan tertinggi di peringkat am dan teknikal akan diberi jawapan secara bertulis. – HARAKAHDAILY 11/3/2024