Wanita bangkit mendepani cabaran

- Advertisement -

PELBAGAI permasalahan yang semakin rencam telah mengasak jasad dan minda masyarakat kita pada hari ini. Di dada-dada akhbar terpampang isu-isu ekonomi negara yang menyesakkan pemikiran pemimpin dan rakyat. Peningkatan kadar tarif elektrik, penyusutan nilai ringgit dan banyak lagi perkara telah menjejaskan kehidupan semasa. Jika kita tidak mampu untuk bernafas seketika ini, bagaimana pula keadaan kita akan datang ? 

- Advertisement -

Kata nama wanita sinonim dengan perbelanjaan. Kadang-kadang dalam sesebuah organisasi keluarga, wanita menjadi bendahari famili, ada juga yang membantu suami menguruskan kewangan. Malahan suri rumah pun bekerja dari rumah. Segelintirnya berprinsip untuk membuat duit poket sendiri kerana lebih memudahkan orang sekeliling. Ya! Wanita dan ‘bershoping’ sukar dipisahkan. 

Namun begitu, adakah patut kita sebagai wanita, tidak mengambil endah tentang ekonomi negara ? 

Semestinya kita perlu cakna dengan pertumbuhan ekonomi MADANI yang semakin sirna . Justeru, bak kata pepatah melayu, sediakan payung sebelum hujan. 

Berhemat dalam berbelanja adalah tindakan yang tepat. Kita sepatutnya membeli barangan yang lebih perlu berbanding yang kita mahu. Ia dapat menjimatkan lebih banyak kos berbanding kita membazir pada barangan yang sebenarnya tidak perlu. Tambahan pula ia dapat menjimatkan ruang penyimpanan di dalam rumah kita. 

Amaran Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Al-Israk ayat 27)

Ibnu Mas’ud juga menjelaskan bahawa pembaziran adalah salah satu perbuatan mengeluarkan atau menggunakan harta pada jalan yang tidak betul, iaitu bukan pada yang diperintahkan oleh Allah serta tidak berlandaskan tuntutan sunah Rasulullah SAW.

Islam adalah gaya hidup kita. Islam mengajar kita untuk sentiasa bersederhana dalam apa-apa perkara. Termasuk juga dalam mengeluarkan harta. Pembaziran termasuk dalam perkara yang mensia-siakan nikmat daripada Allah. Oleh itu, amalkan sifat bersyukur, jauhi sikap kufur. 

Sempena Hari Wanita pada hari ini, saya ingin menyeru kepada insan yang bergelar wanita untuk terus tabah membangunkan keluarga meskipun datang pelbagai cabaran dan rintangan. Janganlah kita memencilkan diri dan tidak bergaul dalam masyarakat. Santunilah jiran tetangga sebaiknya. Amalkan sikap husnuzon dalam menjalinkan silaturahim kerana ia akan mensejahterakan jiwa dan menenangkan fikiran kita.

Selain itu, kita perlu menyemai cinta akan negara kerana kita sentiasa mahukan yang terbaik demi tanah tumpah darah kita. Tanah yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang agama serta nenek moyang kita terdahulu. Jangan kita memisahkan agama daripada politik kerana dengan berpolitik kita mampu bersama untuk mengubah keadaan kita jauh lebih baik berlandaskan syariat Islam. 

Akhir kata, Selamat Hari Wanita kepada seluruh wanita! – HARAKAHDAILY 8/3/2024

- Advertisement -