Perdana Menteri perlu ambil peduli isu dalaman MOTAC

Syed Hassan Syed Ali
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri perlu mengambil peduli mengenai isu-isu yang berlaku dalam Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali berkata, banyak isu yang memalukan berkaitan kementerian tersebut telah tular secara meluas dalam media sosial sejak pemecatan Ketua Pengarah Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar baru-baru ini.

Kata beliau, ini ditambah pula dengan tindakan Menteri Pelancongan itu sendiri yang campur tangan dalam urusan Pegawai Imigresen Malaysia di KLIA yang menghalang kemasukan seorang wanita warganegara China ke negara ini pada tahun lepas.

- Advertisement -

“Di manakah tatakelola yang sentiasa diuar-uarkan dan ditekankan oleh Perdana Menteri setiap kali berucap dalam majlis-maslis rasmi kerajaan dan dalam mana-mana program parti politik?” soalnya.

Menurut beliau, sudah tiba masanya untuk menteri tersebut dipecat atau ditukarkan kepada kementerian-kementerian lain atas tindakannya yang telah banyak kali mencetuskan kemarahan rakyat.

Tambah beliau, PERKASA mahu mana-mana pihak yang terjejas atau tidak berpuas hati untuk tampil ke hadapan dalam mengambil sebarang tindakan undang-undang atau membuat laporan rasmi kepada pihak yang berkenaan terhadap beliau sendiri.

“PERKASA telah menerima khabar daripada orang terdekat Dato’ Dr. Ammar bahawa beliau telah mendapatkan nasihat peguam untuk mengambil tindakan selanjutnya bagi mendapat haknya kembali.

“Maka, kami akan memberi sokongan dan bantuan apa sahaja kepada Dato’ Dr. Ammar sehingga beliau mendapat keadilan sepenuhnya,” ujarnya.

Beliau juga memohon kepada pihak Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Setiausaha MOTAC supaya membela mana-mana pegawai yang bermasalah dengan menteri tersebut bagi mendapat keadilan yang sewajarnya.

“Negara ini ada undang-undang dan peraturan-peraturannya dan sesiapa sahaja termasuklah menteri sekali pun perlu akur, maka jangan jadikan sesebuah kementerian seperti sebuah syarikat keluarga,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/3/2024

- Advertisement -