Undang-undang sivil perlu diselaras perundangan syariah

Mohd Nassuruddin Daud (kanan)
- Advertisement -

KOTA BHARU: Di Brunei Darussalam, negara itu menyelaras undang-undang sivil mengikut perundangan syariah, sesuatu yang berbeza di Malaysia.

Menteri Besar Datuk Panglima Perang, Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, perkara itu dijelaskan Peguam Negara Brunei ketika menerima kunjungan rombongan kerajaan Kelantan beberapa tahun lepas.

- Advertisement -

“Jadi, kita sebagai orang Islam kena selaras undang-undang manusia dengan undang-undang diturunkan Allah.

“Bukannya undang-undang syariah hendak diselaras dengan undang-undang sivil. Itu tidak betul,” katanya ketika menggulung perbahasan Ucapan Menjunjung Kasih dalam persidangan DUN Kelantan, di sini, hari ini.

Pada Februari lepas Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 seksyen dalam Kanun Jenayah Syariah Kelantan (1) 2019 yang dianggap bertentangan dengan Perlembagaan.

Sementara, pada 22 Oktober 2013 Kerajaan Brunei Darussalam mewartakan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 untuk melaksanakan hukuman hudud dan qisas di negara itu.

Perintah itu dilaksanakan berperingkat-peringkat bermula dengan kesalahan-kesalahn ta’zir yang di jadualkan pada April 2014.

Mohd Nassuruddin juga berkata, 16 seksyen yang dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan akan dikaji dan digubal semula kerajaan Kelantan.

Menurutnya, kerajaan negeri akan mempertahankan Kanun Jenayah Syariah selaras dengan komitmen semua Majlis Agama Islam yang terdapat di Malaysia.

“Ini kerana tujuh negeri mempunyai seksyen yang serupa dalam Kanun Jenayah Syariah Kelantan. Adalah menjadi kewajiban semua orang Islam tanpa mengira fahaman politik mempertahankan perundangan syariah.

“Situasi itu dapat dilihat ketika Rang Undang-Undang Jenayah Syariah (II) dibentang pada 1993 mendapat sokongan semua wakil rakyat.

“Dalam perkara ini wakil rakyat BN pun pertahan sehingga rang undang-undang itu dilulus dengan sokongan semua ADUN,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2024

- Advertisement -