‘Kalau sibuk gantilah menteri lain’

Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan bahawa Menteri Dalam Negeri tidak pernah memanggil beliau untuk mengadakan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah.

Menteri terbabit katanya, gagal mengadakan mesyuarat lebih setahun lalu bagi membincangkan projek infrastruktur kerajaan persekutuan di Kedah dengan kerajaan negeri sejak majlis tersebut ditubuhkan. 

- Advertisement -

“Saya adalah Pengerusi Bersama, tetapi tidak dipanggil mesyuarat lebih daripada setahun  membincangkan projek infrastruktur kerajaan persekutuan di negeri ini dengan kerajaan negeri sejak majlis itu ditubuhkan.

“Perkara ini tidak seharusnya berlarutan kerana ia berkait dengan peruntukan di bawah persekutuan dan sebahagiannya terletak bawah kuasa negeri,” tegas beliau dalam sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ditangguhkan, di Wisma Darul Aman, semalam.

Tambah Sanusi, beliau telah mengemukakan kebimbangannya itu kepada Perdana Menteri, dalam pertemuan bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri baru-baru ini.

“Ada fungsi di bawah kerajaan negeri sebab berkaitan dengan isu tanah dan ada juga fungsi kerajaan persekutuan berkaitan peruntukan. 

“Maka, ini tanggungjawab masing-masing dan kerja pun sedang berjalan. Jadi, kena selaraskan,” tegasnya.

Terdahulu, pada Rabu lalu, Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan pihaknya akan membuat perbincangan dan pertemuan bersama Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, berhubung faktor kelewatan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) di Kedah sebelum mempertimbangkan dana tambahan, seperti dicadangkan kerajaan negeri.

Sehubungan itu, Sanusi berkata: “Kalau dia (Saifuddin) sibuk, gantikan dengan menteri kabinet lain untuk hadir mesyuarat.

“Kuasa panggil mesyuarat ada padanya, bukan saya. Sudahlah datang Kedah tak dimaklumkan. Jadi, tak wajarlah perkara seperti itu dibiarkan terus berlarutan.”

Perkara itu turut disentuh beliau dalam ucapan penggulungan Sidang DUN semalam, malah Sanusi mendedahkan, antara menteri kabinet yang hadir ke Kedah tanpa memaklumkan kepada ‘tuan rumah’ (Kedah) termasuklah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan. – HARAKAHDAILY 8/3/2024

- Advertisement -