Pastikan Islam sebagai agama Persekutuan tidak diganggu gugat

Mohd Asri Mat Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Seluruh umat Islam diseru bersatu hati dalam memastikan kepentingan agama Islam sebagai agama Persekutuan tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ketua Penerangan PAS Negeri Kelantan, Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, ini adalah kerana tanggungjawab menjaga Islam dan mengangkat ketinggian nama Allah SWT adalah terpikul ke atas semua umat Islam tanpa mengira parti politik. 

- Advertisement -

Terdahulu, Malaysia telah dikejutkan dengan insiden penjualan stoking yang dicetak dengan nama Allah di salah sebuah rangkaian kedai serbaneka beberapa hari yang lalu, menyebabkan pelbagai pihak  tampil memberikan pandangan dalam versi pelbagai.

Menurut Mohd Asri, isu utama yang menjadi bahan sensitif dalam perkara ini adalah berkait dengan kedudukan nama Allah SWT yang diletakkan pada tempat yang bukan sepatutnya. 

“Hakikatnya nama Allah SWT tidak layak sama sekali diletakkan di kaki termasuk cetakan di stoking yang secara urufnya adalah sarung yang dipakaikan di kaki,” katanya. 

Tambah beliau, dalam soal ini, PAS Kelantan juga mengajak semua pihak membuka mata terhadap isu penghinaan terhadap Islam atau mana-mana agama yang boleh merencatkan keharmonian masyarakat Malaysia. 

“Tidak boleh mana-mana pihak menghina atau menyentuh soal agama dengan tujuan yang salah.

“Dalam isu ini PAS Kelantan menyokong penuh gesaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sebagaimana lontaran dalam laman sosial Baginda supaya mengambil tindakan keras terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah berdasarkan siasatan pihak berkuasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/3/2024

- Advertisement -