Aktiviti pendidikan di premis PAS dijadikan kambing hitam?

Mohamed Fadzli
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Arahan pemeriksaan berkanun di premis SRITI dan SMITI yang dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja baru-baru ini telah menimbulkan persoalan mengenai apakah motif di sebaliknya.

Lajnah Pendidikan PAS Pusat yang mengambil maklum tentang perkara tersebut berkata, persoalan itu timbul memandangkan segala operasi pendidikan di premis-premis berkenaan merupakan sebahagian daripada aktiviti parti PAS.

- Advertisement -

Menurut Pengerusinya, Datuk Dr Mohamed Fadzli, pengoperasian sektor pendidikan di bawah entiti PAS juga berasaskan punca kuasa yang dibenarkan oleh perundangan seperti yang terkandung di dalam Akta Pertubuhan 1966.

“Selain itu, pengoperasian pendidikan PAS bukanlah berteraskan perniagaan atau berperanan sebagai majikan, tetapi pelaksanaan aktiviti pendidikan tersebut adalah berbentuk sukarela. 

Jika ada kos bayaran pun, ia adalah sekadar untuk menjalankan aktiviti tersebut seminimumnya. 

“PASTI, SRITI dan SMITI merupakan sebahagian aktiviti pendidikan PAS, dan terbuka khusus kepada ahli dan penyokong PAS selaras dengan Fasal 6 (2) Perlembagaan PAS (Pindaan 2020).

“Apakah pihak berkenaan cuba untuk mengalih isu-isu nasional seperti kejatuhan nilai ringgit, kos sara hidup yang melambung atau hal berhubung dengan food security, dengan menjadikan aktiviti pendidikan di premis dan entiti di bawah PAS sebagai kambing hitam?”, soalnya.

Tambah beliau, pendidikan PASTI telah terbukti memberi nilai tambah yang besar kepada pembangunan insan dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual kepada pembangunan pendidikan arus perdana apabila mereka memasuki sistem pendidikan kebangsaan di sekolah rendah mahupun menengah, sehingga terbukti menjadi pelajar yang berakhlak, beradab dan cemerlang dalam penilaian akademik. 

“Justeru, Lajnah Pendidikan PAS berpendirian bahawa tindakan berkenaan adalah tidak lebih dari sebahagian gerakan politik untuk melumpuhkan institusi pendidikan di bawah pengelolaan PAS. 

“Oleh itu, pihak berkenaan disaran supaya bertindaklah dengan matang dan tak perlu gertak,” katanya.  – HARAKAHDAILY 20/3/2024

- Advertisement -