Rindu kenangan berbuka puasa bersama ibu, ayah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Rusma Qasrina Ruzlan, 15, kehilangan ayahnya, Ruzlan Abdul Talib yang meninggal dunia pada Februari lepas selepas setahun ibu tercinta pergi buat selama-lamanya.

- Advertisement -

Beliau merupakan anak kesembilan daripada 10 adik beradik memberitahu terpaksa berpisah dengan adik beradik lain kerana kekangan hidup.

Rusma sekarang menghuni rumah Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan (YAATIM) di Rumah Puteri Harapan Taman Sabariah, Jalan Pengkalan Chepa.

Katanya sebelum ini mereka sekeluarga berkumpul bersama walaupun dalam kehidupan serba daif.

“Setiap kali Ramadan, apa yang dirindukan adalah kenangan berbuka puasa bersama ibu, ayah dan adik beradik yang lain. Tetapi semua kini hanya tinggal kenangan.

“Saya akui lain suasana berbuka bersama keluarga sendiri. Saya rindu ibu dan ayah kalau boleh saya mahu terus bersama mereka termasuk adik beradik yang lain berpuasa dan meraikan hari raya.

“Walaupun adakala saya rasa amat sedih, namun saya perlu terima dan reda dengan takdir yang berlaku. Kenangan bersama ibu ayah akan saya sematkan dalam hati sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Teristimewa bersama Bank Muamalat malam tadi.

Beliau juga berkata, adik bongsu, Muhammad Hasmadi, 5, akan turut tinggal di rumah YAATIM tidak lama lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Bank Muamalat, Zury Rahimee berkata majls berbuka puasa bersama anak yatim merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya setiap kali Ramadan.

Katanya, Bank Muamalat memperuntukan sebanyak RM362,700 khusus bagi menganjur program keagaamaan dan kebajikan sepanjang Ramadan. – HARAKAHDAILY 20/3/2024

- Advertisement -