Raja Perlis nasihati rakyat bayar tunggakan bil air

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bergambar kenangan bersama Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri di Kompleks DUN, Kangar Perlis, pada hari ini, 23 April 2024.
- Advertisement -

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menasihatkan rakyat negeri itu agar bersikap amanah dengan membayar tunggakan bil air.

Titah baginda, tunggakan bil air semasa yang ditanggung oleh kerajaan negeri pada ketika ini mencecah RM34.84 juta.

- Advertisement -

“Beta ingin menasihati semua pengguna bekalan air di negeri ini untuk bersikap amanah dengan membayar tunggakan bil air yang kini mencecah RM34.84 juta. 

“Dengan kerjasama yang menyeluruh daripada semua pihak, insya-Allah pengurusan bekalan air dapat dipertingkatkan,” titah baginda dalam  titah ucapan sempena perasmian pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Persidangan Kedua ,Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 di Kompleks DUN Perlis, di sini, hari ini.

Baginda bertitah, kerjasama semua pihak perlu, bagi meningkatkan pengurusan bekalan air di negeri ini.

“Perkhidmatan bekalan air terawat di Perlis masih belum mencapai tahap optimum dan kualiti yang memuaskan. Isu Air tidak Berhasil (Non-Revenue Water, NRW) juga masih tinggi, iaitu pada kadar 62.5 peratus.

“Dalam hubungan ini, beta mengambil maklum bahawa kerajaan persekutuan telah bersetuju untuk memberi geran kepada semua negeri yang mempunyai kadar NRW melebihi 50 peratus.

“Diharapkan agar kerjasama ini dapat membantu kerajaan negeri dalam memberikan perkhidmatan bekalan air yang lebih baik kepada rakyat,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut menyentuh isu kebersihan yang masih belum memuaskan.

Baginda menitahkan, perbuatan seperti membuang sampah merata-rata, membuang sisa buangan secara terus ke dalam laut dan sungai, serta melakukan pembakaran secara terbuka, merupakan beberapa tindakan yang melampaui batas dan juga pengambilan hak orang lain.

“Beta sedar bahawa memanda Menteri Besar mengambil berat akan permasalahan ini.

“Walaupun kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menyelesaikan isu kebersihan, namun pada hemat beta tahap kebersihan negeri Perlis masih lagi berada pada tahap yang belum boleh dibanggakan,” titah baginda.

Justeru Tuanku menitahkan, selain daripada kempen kesedaran yang dilaksanakan dari szemasa ke semasa, penguatkuasaan undang-undang berkaitan kebersihan persekitaran juga perlu dilaksanakan dengan tegas serta berkesan. – HARAKAHDAILY 23/4/2024

- Advertisement -