Raja Perlis titah rakyat jangan bazirkan makanan

- Advertisement -

KANGAR: “Saat penduduk Gaza sedang mengalami bencana kelaparan, namun di sini setiap hari banyak bahan makanan yang dibazirkan.”

Itu titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail buat rakyat Perlis, yang mana baginda turut menitahkan agar rakyat perlu bersyukur kerana dapat hidup dalam keadaan aman, harmoni dan bebas daripada peperangan.

- Advertisement -

Titah Tuanku, berdasarkan laporan terbaharu oleh Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dianggarkan 1.1 juta orang iaitu separuh daripada penduduk Gaza mengalami bencana kelaparan dan dijangka melanda utara wilayah itu menjelang bulan Mei tahun ini. 

“Di sini (Perlis), setiap hari banyak bahan makanan yang dibazirkan, beta telah dimaklumkan bahawa kajian komposisi sisa pepejal mengikut komponen yang dijalankan di 28 kemudahan pengurusan sisa pepejal yang diselia oleh SWCorp, merekodkan sebanyak 86,766.29 tan (35.45%) daripada jumlah keseluruhan sisa pepejal yang dilupuskan sepanjang bulan Ramadan 2023 merupakan sisa makanan.

“Malah hasil kajian yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebelum ini melalui SWCorp, sebanyak 1,782.45 tan atau hampir 1.8 juta kilogram sisa makanan dilupuskan pada 2023. 

“Angka-angka tersebut membayangkan betapa seriusnya perbuatan pembaziran makanan yang sedang berlaku,” titah baginda.

Titah ucapan baginda itu dibacakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersempena Istiadat Perasmian Penggal Persidangan Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke 15 di Kompleks DUN, di sini, hari ini.

Baginda menitahkan,  manusia perlu dididik dengan nilai menghargai makanan dan disemai dengan budaya tidak membazirkan makanan. 

“Oleh itu beta berharap kerajaan negeri mengambil langkah-langkah bermakna bagi menghentikan pembaziran ini bukan sahaja pada bulan Ramadan tetapi pada setiap masa,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 23/4/2024

- Advertisement -