Kedah catat 282,492 pencarum aktif Perkeso, 32,681 OBS

Wong Chia Tzen
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kedah mencatatkan seramai 282,492 dan 52,051 pencarum aktif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) masing-masing dari kalangan penduduk tempatan dan pekerja asing, dalam tempoh sehingga 31 Disember 2023.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam dan NGO, Wong Chia Tzen (Gerakan-Kulim) berkata, pelbagai usaha dilaksanakan oleh Perkeso bagi memastikan semua pekerja yang layak di Kedah berdaftar dan mencarum dengan pertubuhan itu.

“Berdasarkan statistik Perkeso, sehingga 31 Disember 2023 jumlah pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4] adalah seramai 7.65 juta orang bagi pekerja tempatan dan 1.99 juta pekerja asing. 

“Daripada jumlah tersebut, negeri Kedah mencatatkan seramai 282,492 pencarum aktif tempatan dan 52,051 pencarum aktif pekerja asing,” jelasnya ketika  menjawab soalan lisan yang diutarakan oleh Mardhiyyah Johari (PAS-Pengkalan Kundur) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini, hari ini. 

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundur itu memohon penjelasan berkenaan usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri untuk memastikan setiap pekerja di negeri ini menjadi pencarum Perkeso atau Socso sebagai persediaan masa hadapan. 

Menurut Chia Tzen lagi, Perkeso juga melaksanakan Bulan Pemutihan untuk memberi peluang dan ruang kepada majikan supaya mendaftar secara sukarela.

Dalam tempoh itu, beliau menjelaskan bahawa majikan akan dikecualikan daripada tindakan kompaun, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) walaupun telah melewati tempoh yang ditetapkan untuk mendaftar dan mencarum.

“Operasi Pengesanan Majikan atau Ops Kesan Perkeso yang diadakan di seluruh negara juga berjaya menjejak majikan yang masih belum berdaftar dan mencarumkan pekerja masing-masing.

“Majikan juga akan dikenakan penalti atau FCLB pada kadar enam peratus setahun atas setiap hari caruman lewat dibayar. Sekiranya gagal, majikan boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” tambah beliau yang juga merupakan ADUN Kulim.

Dalam pada itu, Perkeso juga katanya, telah melaksanakan program-program kesedaran kepada majikan dan pekerja seperti Program Pemimpin Masyarakat, Program Seranta dan Program Libat Urus bagi menyebarkan informasi berkenaannya, selain mempergiat hebahan mengenai pertubuhan itu di media cetak dan sosial.

Mengulas lanjut, ujar beliau, Perkeso turut menyediakan perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS) di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 [Akta 789] yang mana pendaftaran bagi skim ini adalah bersifat sukarela. 

“Berdasarkan statistik pertubuhan berkenaan, OBS yang aktif mencarum di Kedah berjumlah 32,681 orang daripada jumlah keseluruhan 422,894 seluruh negara.

“Di bawah SKSPS juga, pelbagai inisiatif yang diambil oleh Perkeso, antaranya melaksanakan inisiatif di bawah bajet 2024,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2024

- Advertisement -