Terengganu komited isu nelayan tiada lesen di Kijal 

Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu komited dalam menyelesaikan isu nelayan yang tidak mempunyai lesen di Kijal.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, ketika kerajaan negeri membuat gerakan besar-besaran untuk menyelesaikan isu lesen sampan nelayan pada 2019, ramai nelayan di Kijal tidak membuat permohonan.

- Advertisement -

“Ia menyebabkan apabila nelayan lain mendapat lesen, mereka yang tercicir. Apa pun alasan mereka tidak memohon lesen, ia adalah perkara yang telah lepas. Kita pandang hari depan yang masih jauh.

“Untuk nelayan di Kijal, saya bagi komitmen untuk bantu selesaikan isu nelayan yang masih tak berlesen,” ujarnya dalam satu hantaran menerusi laman sosial beliau susulan lawatan ke Kijal, semalam. 

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal yang juga Exco kerajaan negeri, Datuk Razali Idris.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu, Kijal sekarang tidak seperti dahulu kerana masyarakat menyambut kehadirannya dengan senyum mesra. 

“Boleh bincang cara anak-beranak macam-macam perkara. Terima kasih adik kakak pekebun durian dan nelayan pantai Kijal,” ujarnya.

Beliau turut menyentuh tentang durian Kijal yang dahulunya tersohor tetapi kini kebun buah berkenaan sudah  banyak yang terbiar. 

“Kemungkinan pemilik kebun mempraktis kaedah 3T iaitu tanam, tinggal dan tuai, menyebabkan kebun penuh dengan semak samun tanpa baja dan air. Maka natijahnya pokok durian mogok tak nak berbuah,” jelasnya. 

Justeru, beliau berkata menerusi majlis dialog yang diadakan itu, kata sepakat telah dicapai bahawa kegemilangan durian Kijal perlu dikembalikan. 

“Antara langkah yang perlu diambil ialah kebun mesti dibersihkan dan pH tanah mesti diperbetulkan.

“Pokok mesti diberi baja dan air serta infrastruktur ladang terutama sistem jalan raya mesti dinaik taraf,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2024

- Advertisement -