Perpustakaan Awam Perlis anjur permainan Tuju Bola

- Advertisement -

KANGAR: Sekumpulan kanak-kanak dilihat berkumpul dalam satu bulatan sambil kaki masing-masing memfokus kepada sebiji bola.

Mereka sebenarnya sedang bermain permainan yang dikenali sebagai Tuju Bola sempena Program Riang Ria Cuti Sekolah yang sebaliknya tidak memerlukan padang seperti dalam perlawanan bola sepak.

- Advertisement -

Penolong Pustakawan Unit Sumber Media, Perpustakaan Kanak-Kanak negeri Perlis, Zairina Hashim berkata, menerusi penganjuran seumpama itu ia lebih mendekatkan masyarakat dengan perpustakaan.

“Program Riang Ria Cuti Sekolah itu anjuran pihak kami sudah memasuki minggu kedua dan
aktiviti yang disediakan hari ini adalah permainan Tuju Bola.

“Kanak-kanak yang menyertai permainan Tuju Bola masing-masing turut menerima cenderahati yang diberikan pihak penganjur,” katanya sambil menambah bahawa Perpustakaan Awam Negeri Perlis sudah lebih 10 tahun anjur aktiviti penuhi musim cuti sekolah.

“Boleh dikatakan lebih 10 tahun kita adakan program seperti ini setiap kali tiba musim cuti sekolah.

“Cuma sekarang ini hebahan lebih senang melalui media massa yang ada, Alhamdulillah sambutan anak-anak pun menggalakkan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang sudi menghantar anak-anak menyertai acara yang disediakan pihaknya.

Tambah beliau, aktiviti yang disediakan sedikit sebanyak membantu perpustakaan menjalankan peranannya kepada masyarakat.

“Terdapat pelbagai program dan aktiviti, termasuk permainan fizikal yang boleh menguat serta mencergaskan badan.

“Sekarang ini ramai yang suka bermain permainan secara atas talian, jadi kita sediakan aktiviti permainan fizikal yang boleh menguatkan badan,” ujarnya.

Selain permainan Tuju Bola, Riang Ria Cuti Sekolah turut menganjurkan program solat dan persediaan ke sekolah, sekaligus membantu ibu bapa mencari nota berkaitan pembelajaran berkenaan.

Dalam pada itu pengunjung khususnya ibu bapa memuji langkah baik perpustakaan berkenaan membantu para pelajar mengisi masa cuti sekolah dengan aktiviti bermanfaat.

Siti Arfah Othman,42, berkata, dia akan membawa anak-anaknya ke perpustakaan setiap kali musim cuti sekolah bagi memenuhi masa mereka.

“Bagus juga perpustakaan buat macam ini, jadi budak-budak pun seronok tida lah duduk di rumah sahaja.

“Saya memang selalu hantar anak-anak, boleh dikatakan setiap kali cuti sekolah,” katanya. – HARAKAHDAILY  20/2/2024

- Advertisement -