Padi benih: Gesa perhatian Kementerian Pertanian

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, digesa memberi tumpuan kepada pengusaha padi benih.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad berkata, langkah itu penting bagi menangani kekurangan padi benih yang sering berlaku terutama pada musim kedua setiap tahun.

- Advertisement -

“Pengusaha padi benih terpaksa mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang memakan masa lebih lama daripada pengusaha padi beras.

“Contohnya, pengusaha padi beras hanya memerlukan 105 hari untuk menuai, tetapi padi benih memerlukan 120 hari ke atas sebelum boleh dituai,” katanya hari ini.

Razali menegaskan, beliau telah membawa perkara itu pada perbincangan mesyuarat berkala, namun tiada tindakan yang diambil setakat ini daripada kementerian tersebut.

Dalam pada itu beliau juga menggesa agar pengusaha padi benih diberi harga istimewa berbanding pengusaha padi beras kerana mereka terlibat dalam proses penanaman yang lebih rumit.

“Kos tanaman padi benih juga lebih tinggi iaitu sekitar RM300 hingga RM500 dan memerlukan penjagaan yang teliti,” tambah beliau.

Oleh itu sebagai usaha jangka pendek, pihaknya telah mengambil inisiatif membeli padi benih dari Sekinchan untuk menampung kekurangan bekalan padi benih di Perlis.

Dalam pada itu, beliau juga menggalakkan para petani membanyakkan pengeluaran padi benih terutama di fasa awal musim. – HARAKAHDAILY  20/2/2024

- Advertisement -