Pindaan RUU355: Langkah awal angkat martabat Mahkamah Syariah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat mengalu-alukan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 Rang Undang-undang 355 (RUU355) sebagai langkah awal mengangkat martabat Mahkamah Syariah dalam negara.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, cadangan perluasan bidang kuasa Mahkamah Syariah melalui RUU355 ini bukanlah suatu perkara yang baharu.

- Advertisement -

Beliau mengimbau usaha sama pernah dikemukakan menerusi pembentangan RUU Persendirian Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada tahun 2016 dan 2017.

Juga menurutnya, pembentangan RUU355 yang sepatutnya dibentang untuk pindaan pada persidangan Parlimen penghujung Oktober 2022 di mana terbantut susulan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022.

“Gesaan terhadap perluasan bidang kuasa Mahkamah Syariah telah disuarakan oleh tokoh perundangan Islam Malaysia, Allahyarham Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad Mohamed Ibrahim, sejak sekian lama.

“Oleh itu, tindakan meminda dan meningkatkan hukuman di bawah Akta 355 iaitu tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan adalah wajar kerana ia suatu langkah susulan pasca pindaan terhadap Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan pada 1988,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, mengharapkan agar tiada lagi polemik berpanjangan dan tidak berkesudahan mengenai cadangan pindaan ini.

“Sejujurnya kita sudah terlalu lama berbahas perkara yang tidak perlu sehingga menyebabkan langkah mengangkat martabat Mahkamah Syariah seringkali menemui jalan buntu.

“Apa yang lebih mendukacitakan adalah usaha berterusan sesetengah pihak yang merendah-rendahkan taraf Mahkamah Syariah dalam sistem perundangan negara,” ujarnya.

Tambah beliau, Dewan Ulamak PAS Pusat turut menyatakan keyakinan bahawa pindaan RUU355 akan mendapat sokongan sebulat suara Ahli Parlimen PAS jika Kerajaan Persekutuan bersedia untuk membentangkan sekali lagi di Parlimen.

“Walaupun memahami usaha ke arah memartabatkan Mahkamah Syariah ketika ini turut digerakkan melalui Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

“Namun apa-apapun ia tetap akan melibatkan peningkatan hukuman yang dihadkan di bawah Akta 355. Di sinilah benih martabat Mahkamah Syariah yang perlu disemai semula,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/2/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -