Tingkatkan amalan sepanjang Ramadan

Mohd Ridzuan Hashim
- Advertisement -

ARAU: Orang ramai terutama dalam kalangan pelajar dinasihatkan agar menambah dan meningkatkan amalan ibadah sepanjang bulan suci Ramadan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim berkata, Ramadan merupakan pemberian Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW, justeru peluang  perbanyakkan amalan tidak boleh dilepaskan.

- Advertisement -

“Sepanjang bulan Ramadan terdapat banyak fadhilat serta tawaran kebaikan yang diberikan Allah SWT kepada umat-Nya. 

“Oleh kerana itu, sebagai pelajar yang tidak sibuk dengan kerja-kerja seharian seperti kebanyakan orang lain, perlulah ambil peluang untuk mengaut sebanyak mungkin ganjaran yang telah tersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pelancaran Program Ihya’ Ramadan di Madrasah ad-Diniah Al-Islamiah (MADI), Jejawi, di sini, hari ini.

Pelbagai acara diadakan termasuk pertandingan hafazan, kuiz, tadarus al-Quran, Tabung Ramadan, dan tazkirah subuh.

MADI mula beroperasi pada 24 Mei 1997 merupakan salah sebuah sekolah di bawah Badan Perhubungan PAS Negeri Perlis. – HARAKAHDAILY 12/3/2024.

- Advertisement -