Judi: Kerajaan Pusat disaran ikut langkah Perlis

Mohd Zai Mustafa
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat disaran mengikut jejak langkah Perlis menutup secara berperingkat dan sehingga kini bebas seratus peratus daripada premis judi.

- Advertisement -

Presiden Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, keputusan kerajaan negeri Perlis itu membuktikan bahawa dasar kerajaan yang dipimpin oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli mengutamakan kesejahteraan dan keharmonian rakyat di negeri berkenaan.

“Perlis menjadi negeri keempat selepas Kelantan, Terengganu dan Kedah yang bebas dan bersih dari premis judi. 

“Jadi, adalah adalah lebih baik jika negeri-negeri lain di Malaysia  juga mengikuti tindakan yang sama seperti yang dilakukan Perlis,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, judi adalah perbuatan yang salah di sisi agama dan juga moral. 

“Ketagihan judi membawa kepada tekanan emosi dan mental kepada keluarga dan masyarakat. Judi boleh membawa kepada tindakan yang lebih buruk kepada keluarga seperti wang perbelanjaan keluarga, pendidikan dan lain-lain dihabiskan untuk judi akibat ketagihan”, tegasnya.

Oleh yang demikian, Mohd Zai menyeru agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri bersepakat dalam menentukan masyarakat bebas judi. 

“Pemimpin-pemimpin masyarakat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) juga wajar menyertai kempen mempromosi negara yang bebas judi demi masyarakat yang lebih harmoni dan sejahtera,” katanya.  – HARAKAHDAILY 15/3/2024

- Advertisement -