PAS Perak seru kerajaan selesaikan bebanan rakyat

Razman Zakaria
- Advertisement -

IPOH: PAS Perak menyeru kerajaan Madani menyelesaikan bebanan rakyat menjelang Aidilfitri selepas bergelut menyediakan persiapan sekolah anak-anak.

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, sehingga kini belum ada usaha mengatasi kenaikan harga barang dilakukan pihak kerajaan, selain melakukan jualan sempena Menteri turun kawasan. 

- Advertisement -

“Rakyat terpaksa berebut untuk mendapatkan keperluan yang sangat terhad. Ini menunjukkan kerajaan gagal berfungsi menyediakan kehidupan rakyat dengan selesa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, seruan terhadap kerajaan adalah perlu bagi menguruskan ekonomi rakyat dengan menumpukan bantuan khasnya menghadapi Aidilfitri yang bakal tiba. 

“Sambutan bulan Ramadan dan pembukaan sesi persekolahan serentak pada tahun ini. Semua ini akan memberi tekanan kepada ketua keluarga untuk lebih kerja lebih kuat untuk memenuhi segala perbelanjaan sehingga Aidilfitri yang bakal tiba.

“Dengan tekanan kenaikan harga barang yang sangat tinggi selain keperluan seperti beras tempatan yang kurang di pasaran, ia semakin menyusahkan hidup rakyat,” jelasnya sambil mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam, khususnya warga Perak. 

Menurutnya lagi, PAS Perak dalam pada itu berkesempatan meninjau keadaan rakyat yang sangat memerlukan bantuan di kesemua 17 Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negara (ADUN) PAS bersama-sama empat Ahli Parlimen, telah menerima pelbagai permohonan dari rakyat di kawasan masing-masing. 

“Sebagai ADUN dan Ahli Parlimen pembangkang yang banyak dinafikan bantuan kerajaan, kami sekadar membantu mengikut kemampuan,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/03/24

- Advertisement -