Dapat hadiah, hilang rasa takut berkhatan

- Advertisement -

POKOK SENA: Program khatan beramai-ramai yang dianjurkan Masjid Bukit Pinang, di sini agak unik apabila kanak-kanak yang menyertainya masing-masing diberikan hadiah bagi menghilangkan perasaan takut mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pinang, Wan Romani Wan Salim berkata, beliau tertarik dengan kelainan program khatan beramai-ramai anjuran Majlis Bukit Pinang.

- Advertisement -

“Peserta (program) khatan diberi hadiah, jadi keseronokan dapat hadiah mampu menghilangkan rasa sakit dan timbul rasa seronok dalam kalangan mereka,” katanya.

Di Kedah, khatan lebih sinonim dengan istilah ‘masuk jawi’, dan sudah menjadi aktiviti tahunan sama ada oleh parti politik, masjid, mahupun Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR).

Menurut Wan Romani, beliau kerap dijemput merasmikan program berkhatan khususnya di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pinang, mahupun kawasan Pokok Sena.

Tambah beliau, tidak cukup di markas, dewan, masjid dan lain-lain, beliau juga dijemput ke majlis khatan yang dianjurkan di kampung-kampung.

“Seronok lihat telatah anak-anak yang akan dikhatankan. Ada setengah tempat jemput bomba, sembur air kepada peserta, ada juga di tempat lain, anak-anak ini bawa berendam di sungai. Ikut cara masing-masing yang selesa,” ujarnya.

“Sebut khatan,bersunat atau masuk jawi ini, kanak-kanak pasti berasa takut, tetapi ada juga yang berani,” tambahnya yang mengakui, setiap kali menziarahi kanak-kanak yang berkhatan, beliau pasti akan memberi ‘saguhati’ untuk menggembirakan hati mereka.

“Sedekah duit sikit, lepas tu bergurau senda sekejap dengan depa (mereka)…bukan apa, nak bagi depa ghalit (leka) sat lepas dok tahan sakit (berkhatan) tadi,” katanya. – HARAKAHDAILY  20/2/2024

- Advertisement -