Awas perangkap maut arus karau

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Orang ramai terutama yang beriadah di pantai diingatkan agar sentiasa berwaspada dengan bahaya maut di tarik arus laut deras secara tiba-tiba melalui apa yang dikenali sebagai fenomena arus karau.

Pegawai Khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Pembangunan Insan dan Penerangan Terengganu, Sabri Mamat dalam kenyataannya, berharap warganet turut sama-sama berkongsi info mengenai fenomena ini di mana-mana platform.

- Advertisement -

Terdahulu, katanya, perkara tersebut telah didedahkan oleh Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Ts Dr Mohd Fadzil Mohd Akhir, pada 2020, yang mengatakan bahawa orang yang pandai berenang pun akan merasa panik apabila berlakunya fenomena ini yang merupakan perangkap maut.

Dalam laman web Majlis Keselamatan Negara, menyatakanbahawa arus karau atau Rip Current adalah arus laut yang bergerak dari pantai ke laut lepas melalui saluran sempit di antara dua beting pasir atau dua arus sejajar pantai.

Arus karau biasanya berkecepatan tinggi dan dapat menyeret orang yang berenang di dekatnya ke tengah laut.

Ia dapat dikenali dengan adanya permukaan air yang lebih tenang, berwarna gelap, dan berbuih putih di antara ombak-ombak yang pecah di pantai.

Menurut Sabri, orang ramai di negara ini kurang memberikan perhatian terhadap bahaya arus karau.

“Makam tuan-tuan kena tahu perkara ini, perhatikan baik-baik gambar yang saya kongsikan di bawah, arus karau boleh dicam apabila ada ruang diapit ombak kiri dan kanan.

“Apabila melihat keadaan ini, jangan sesekali tuan-tuan mandi di kawasan berkenaan. Jika tidak, anda akan ditarik dengan tarikan arus deras yg akan mengakibatkan anda menjadi panik secara tiba-tiba,” tegasnya.

Tambah beliau, jika berdepan dengan fenomena arus karau terdapat dua pilihan sama ada mengikut sahaja arus ketika ditarik atau melawan arus itu.

“Jika dilawan pastinya anda akan kelelahan, tiada daya untuk anda selamatkan diri. Jadi, anda mengikut sahaja arus, tetapi kemudiannya berusaha berenang ke tepi arus, selepas itu barulah anda akan terkeluar daripada jalur arus karau.

“Fenomena ini akan mengakibatkan anda ditarik jauh ke tengah lautan paling pendek sejauh 30 kaki,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan, agar semua pihak perlu ambil perhatian akan fenomena ini jika sedang bercuti terutamanya di pantai terbuka.

“Kami rakyat Terengganu memang tidak mandi di pantai terbuka dan tidak akan jumpa orang Terengganu mandi beramai-ramai terutamanya di Pantai Batu Buruk.

“Namun kini, sudah ada beberapa tempat tumpuan untuk mandi pantai seperti di Pantai Kekabu Marang.

“Oleh demikian, pihak pejabat daerah juga telah mempersiapkan petugas keselamatan lengkap dengan segala kemudahan jika terdapat kes orang lemas,” katanya.

Terdahulu, baru-baru ini, media melaporkan bahawa, Nora Elina Abdul Khalit, 44, balu kepada Allahyarham Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, berkata beliau tidak menyangka percutian mereka sekeluarga buat kali pertama, di sini, berakhir dengan tragedi.

Mayat Zulkarnain ditemui terapung oleh sekumpulan nelayan di perairan Pulau Kapas dan Pulau Gemia kira-kira 16 kilometer daripada lokasi kejadian pada 4 petang semalam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara di Selangor pada hari ini. – HARAKAHDAILY  20/2/2024

- Advertisement -