Majlis sempena Tahun Baru Cina di Kelantan

Takiyuddin (tengah) majlis penyerahan limau mandarin sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang akan disambut tidak lama lagi, di Kota Bharu, Kelantan. (FOTO: HARAKAHDAILY/Rizal Tahir)
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kehadiran pelbagai kaum pada program Tahun Baru Cina anjuran KB Mall bukti rakyat di negeri ini mempunyai hubungan erat sesama mereka sejak sekian lama.

Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang, Ustaz Mohd Nasruddin Daud berkata, keutuhan yang telah lama terjalin itu diharap berkekalan sampai bila-bila.  

- Advertisement -

“Allah SWT ciptakan pelbagai bangsa bertujuan untuk mengenali antara satu sama lain. 

“Umat Islam menyambut Aidilfitri atau Aidiladha, juga disambut oleh kaum-kaum lain di negeri kita dengan berkunjung di antara satu sama lain,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan limau mandarin sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang akan disambut tidak lama lagi, di sini,  malam tadi. 

Hadir sama pada majlis itu,  Anggota Parlimen Kota Bharu,  Dato’ Sri Takiyuddin Hassan,  Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim, Anggota Dewan Undangan Negeri  (ADUN) Bunut Payong,  Shaari Mat Yaman, Pengerusi Gabungan Pertunuhan Tiong Hwa Kelantan, Dato’ Oui Poh Chun dan Pengurus Besar Pasaraya KB Mall, Vincent Khor Siak Sing.

Semua pengunjung yang datang pada majlis itu termasuk yang berada di tingkat satu, dua dan tiga teruja melihat persembahan tarian singa dan naga dari  Persatuan Seni Kebudayaan Wei Yang Kelantan. 

Kanak-kanak tanpa mengira bangsa, begitu seronok apabila menerima agihan angpau dan buah limau diberikan pemimpin kerajaan negeri serta wakil-wakil rakyat.

Sementara itu,  Takiyuddin ketika berucap pada majlis yang sama memberitahu,  Tahun Baru Cina adalah lambang perpaduan masyarakat di negara  ini,  khususnya Kelantan.  

Katanya, kerajaan Kelantan yang berkonsepkan kebajikan akan membantu rakyat di negeri itu tanpa mengira warna kulit, bangsa dan anutan agama.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada KB Mall kerana sudi menjemput pimpinan kerajaan negeri intuk menjayakan program tersebut.

“Malam ini rakyat Kelantan khususnya warga bandar Kota Bharu hadir untuk sama-sama memeriahkan majlis,” katanya.  HARAKAHDAILY  3/2/2024

- Advertisement -