Pembangunan Data Peribadi harus tangani kebimbangan awam

Malaysia kini mula mengorak langkah ke era penggunaan Kecerdasan Buatan (AI). (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia mengorak langkah ke hadapan dalam era penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) antaranya menerusi inisiatif untuk menjadikan AI sebagai sebuah pengurusan data yang lebih efektif seperti pelaksanaan ‘Program AI untuk Rakyat’.

Ahli Jabatan Profesional Muda (JPro), Izdihar Sahalan berkata, dengan adanya pengurusan teknologi ini, transformasi gerak kerja antara agensi-agensi kerajaan diharap lebih efektif dan efisyen seiring dengan perkembangan semasa. 

- Advertisement -

“Walaupun begitu, menjadi suatu persoalan utama, sekiranya data peribadi selepas ini lebih mudah dikongsi, apakah ada tindakan awal pihak kerajaan dalam mengawasi risiko yang tidak diingini? 

“Hal ini kerana bank data pada masa kini diumpamakan seperti lombong emas yang sangat berharga,” ujarnya mewakili Kluster Teknologi Maklumat entiti Dewan Pemuda PAS Malaysia itu.

Pelajar Sarjana Falsafah Pengajian Polisi itu menyatakan, antara kebimbangan besar sebagai rakyat pada hari ini adalah berkaitan pelaksanaan aspek undang-undang dalam menjaga keselamatan data peribadi. 

Menurut beliau, kebelakangan ini rakyat Malaysia rata-ratanya begitu menyedari semakin banyak kaedah bersistem diguna pakai oleh pihak Kerajaan Persekutuan terutamanya seperti PADU, MyDigital, MySejahtera dan sebagainya.

“Umum mengetahui bahawa perundangan berkaitan data peribadi di Malaysia iaitu Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA), hanyalah dilaksanakan bagi sektor swasta sahaja,” jelanya. 

Namun ujar beliau, akta tersebut tidak diguna pakai dalam sektor Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri seperti termaktub pada Bahagian 1, Seksyen 3 (1) akta tersebut menyebabkan banyak persoalan yang memerlukan jawapan tuntas pihak kerajaan berkenaan isu pemantauan data peribadi ini.

“Bagaimanakah teknologi AI yang sama dapat membantu dalam mencari dan mengenal pasti si pencuri data peribadi? Apakah tindakan undang-undang yang ditetapkan kepada pencuri data peribadi tersebut? 

“Sejauh manakah keselamatan data peribadi tidak disebarkan secara personal dan tidak bertanggungjawab di aplikasi seperti Whatsapp, Email ataupun Telegram?” soal Izdihar.

Beliau menyatakan, adalah menjadi satu keperluan untuk menambah baik perundangan berkaitan PDPA demi kepentingan dan keselamatan data peribadi rakyat Malaysia. 

Tambahnya, setiap sektor kerajaan adanya pihak yang melaksanakan penguatkusaan, namun penguatkuasaan paling tinggi adalah hitungan di akhirat kelak dan sesungguhnya Allah Maha Melihat. 

“Mahu atau tidak, semuanya datang daripada kesungguhan politik (political will) Kerajaan semasa. Teknologi sentiasa akan berubah, bagaimana pula dengan perundangan?” akhirinya dengan persoalan.  HARAKAHDAILY  2/2/2024

- Advertisement -