KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menggesa para mufti, institusi agama seperti Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), pendakwah dan para alim ulamak, serta umat Islam di negara ini bersama-sama menyatakan sikap teguh pendirian membantah untuk menolak konsert Ed Sheeran.
Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata demikian sambil turut menggesa Kementerian Komunikasi dan Digital agar lebih cakna dan tegas dalam menilai kelulusan sesuatu konsert yang akan diadakan di negara ini.
Menurutnya, UMMAH menyokong sepenuhnya pandangan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang menggesa agar kerajaan PH-BN mengambil kira secara serius pandangan mufti sebelum membenarkan sebarang acara hiburan termasuk konsert Ed Sheeran yang bakal diadakan di Kuala Lumpur pada penghujung Februari nanti.
“Sewajarnya konsert sebegini tidak diadakan di Malaysia bagi menghormati adat budaya ketimuran yang berteraskan Melayu dan Islam.
“Sementelahan lagi ia bakal mengundang budaya bebas dan secara tidak langsung mempromosi secara tegar komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang sememangnya bertentangan dengan undang-undang negara dan agama khususnya agama Islam.
“Konsert ini juga amat bertentangan dengan ambang ramadan pada awal Mac nanti, yang sewajarnya bulan yang sangat dinantikan oleh umat Islam sebagai bulan pesta melakukan ibadah kepada Allah SWT,” tegasnya.
Menurutnya, konsert Ed Sheeran dan yang seumpama dengannya boleh merosakkan generasi muda negara, maka ia wajar ditolak.
Sehubungan itu, Mohd Zai turut meminta semua pihak sewajarnya berganding bahu bagi mencegah sesuatu perkara yang tidak bersesuaian dengan budaya, adat dan agama di negara ini.
“Negara kita adalah tanggunjawab semua pihak termasuk pihak yang berkuasa dan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/2/2024