Johan golf tak layak raih hadiah AS$1.5 juta

Nick Dunlap telah berjaya menewaskan ramai pemain golf profesional dalam kejohanan American Express di padang golf PGA West di La Quinta, California, Amerika Syarikat pada 21 Jan 2024. (FOTO: CNN)
- Advertisement -

CALIFORNIA: Nick Dunlap yang memenangi kejohanan American Express di padang golf PGA West di La Quinta, California tidak layak membawa pulang hadiah kemenangan wang tunai  AS$1.5 juta (RM7.1 juta).

Skor Dunlap 29-bawah par adalah satu pukulan lebih baik daripada profesional Afrika Selatan Christiaan Bezuidenhout, yang menduduki tempat kedua.

- Advertisement -

Walaupun telah menewaskan ramai pemain golf professional pada Ahad (21 Jan), waktu tempatan, pelajar tahun kedua berusia 20 tahun yang bermain untuk Universiti Alabama itu tidak layak mendapat hadiah kemenangan itu kerana status amaturnya.

Sebaliknya, Bezuidenhout akan menerima hadiah tempat pertama, sementara tiga pemain lain yang merangkul tempat ketiga bakal menerima bayaran seolah-olah mereka menamatkan saingan tiga penjuru untuk tempat kedua, lapor PGATour.com

“Banyak yang saya pelajari hari ini, dan saya sangat bersyukur berada di sini,” kata Dunlap dalam temu bual yang disiarkan oleh halaman Jelajah PGA di X, sebelum ini.

Dunlap mencipta sejarah sebagai pemain amatur pertama memenangi acara Jelajah PGA sejak tahun 1991, selain juga merupakan amatur termuda memenangi acara itu sejak 1910.

Kemenangan besar Dunlap hanyalah yang terbaharu dalam rentetan kejayaan yang menunjukkan masa depan yang cerah untuk pemain golf dari Huntsville, Alabama itu.

Dengan kemenangannya dalam kejohanan Amatur Amerika Syarikat pada  tahun lepas, Dunlap menyertai Tiger Woods sebagai satu-satunya pemain golf yang memenangi kedua-dua kejohanan berprestij itu serta kejuaraan Amatur Remaja AS, yang dimenangi Dunlap pada 2021.

Kemenangan itu juga melayakkan Dunlap meraih taraf profesional pada bila-bila masa dan menyertai Jelajah PGA 2024 dengan keahlian automatik sepanjang musim 2026.

Jika Dunlap mengekalkan status amaturnya melalui penghujung musim jelajah 2024, beliau mempunyai 30 hari selepas berakhirnya musim 2024 untuk mengisytiharkan dirinya profesional untuk musim 2025 atau 30 hari selepas berakhirnya musim 2025 bagi  mengisytiharkan dirinya sebagai profesional untuk musim 2026.

Dalam temu bual dengan PGA Tour Radio selepas kemenangannya itu, Dunlap mengakui bahawa dia tidak pasti apa yang akan dilakukannya seterusnya.

“Saya perlu mengambil sedikit masa untuk membiarkan apa yang baru berlaku ini berlalu. Itu keputusan yang bukan hanya tentang saya. Ia memberi kesan kepada ramai orang, dan jelas sekali, saya akan cuba menikmati saat-saat ini,” katanya.  HARAKAHDAILY  22/1/2024

- Advertisement -